Malaysia sebagai rakan kongsi realisasikan aspirasi ekonomi Afghanistan – Duta

0
20

KUALA LUMPUR: Afghanistan, yang mahu memperkukuhkan hubungan dengan Malaysia, melihat negara ini sebagai rakan kongsi berpotensi untuk merealisasikan aspirasi ekonominya, kata Duta Afghanistan di Malaysia, Atiqullah Atifmal.

Beliau berkata Afghanistan sedang mencari lebih banyak pelaburan asing, khususnya dari negara seperti Malaysia, untuk membantunya membangun lagi sekali gus melakar masa depan lebih baik.

Duta itu mengalu-alukan penyertaan pelabur Malaysia dalam sektor perlombongan, pertanian, agro-pemprosesan, pembangunan infrastruktur dan teknologi maklumat Afghanistan.

Beliau berkata, pelabur dalam sektor tersebut menikmati pemilikan 100 peratus bagi pelaburan mereka dan pajakan tanah jangka panjang pula sehingga 100 tahun.

“Afghanistan kaya dengan sumber asli yang boleh dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonominya,” katanya kepada Bernama semasa sambutan ulang tahun kemerdekaan Afghanistan ke-98 di sini, semalam.

Atiqullah berkata Afghanistan mempunyai deposit mineral yang terbukti belum diteroka bernilai sehingga AS$3 trilion (AS$1=RM4.28), yang boleh menjadikan negara itu antara wilayah perlombongan terkaya di dunia.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), perdagangan dua hala antara Malaysia dan Afghanistan dijangka meningkat 10 peratus tahun ini daripada AS$85.1 juta yang dicatat pada 2016, dengan dipacu peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara.

Pada Mei lepas, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslandilaporkan berkata produk minyak sawit dan pertanian berasaskan sawit merupakan eksport utama ke Afghanistan, menyumbang 90.6 peratus daripada keseluruhan eksport ke negara itu pada 2016.

Beliau berkata syarikat dari Afghanistan telah menyertai dua projek pembuatan bernilai AS$2.28 juta di sini, yang mewujudkan 166 pekerjaan.

Pelaburan Malaysia di Afghanistan, sebaliknya pula bernilai US$1.05 juta, terutama dalam aktiviti kewangan Islam dan insurans atau takaful.

Atiqullah berkata lokasi strategik Afghanistan sebagai ‘Heart of Asia’ berpotensi membolehkan negara itu memainkan peranan utama bagi transit perdagangan dalam rantau, sekali gus menjadinya sebagai hab transit penting di rantau itu.

“Lokasi geografik Afghanistan yang unik menjadikannya laluan penting antara Asia Selatan dan Asia Tengah,” katanya.

Beliau berkata Afghanistan merupakan destinasi eksport yang menawarkan peluang besar kepada minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik, optikal dan peralatan saintifik.

Duta itu berkata, Afghanistan berterima kasih kepada Malaysia yang mengalu-alukan negara itu menjadi anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2015, menyifatkan penyertaan itu sebagai satu pencapaian yang menggerakkan ekonomi negaranya.

“Keanggotaan itu membantu negara kami mengintegrasi kepada ekonomi dunia dan menyumbangkepada kestabilan ekonomi serta politik.

“Sesuatu yang wajar dikatakan bahawa Afghanistan bersyukur apabila Malaysia mengalu-alukan keanggotaan Afghanistan dalam WTO,” katanya.

Penyertaan Afghanistan dalam WTO telah diluluskan pada 2015 dan ia menyertai pertubuhan itu secara rasmi pada 29 Julai, 2016, sebagai anggota ke-164, selepas rundingan terma kemasukan selama hampir 12 tahun.

Atiqullah berkata kedutaan negara itu di sini, dengan kerjasama MITI serta agensi lain, telah menganjurkan Forum Perniagaan Afghanistan-Malaysia pada Mei lepas.

Memorandum Persefahaman untuk menubuhkan Majlis Perniagaan Malaysia-Afghanistan yang bertujuan memperkukuhkan hubungan perdagangan turut dimeterai.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here