Malaysia teroka peluang pelaburan dengan SK Group – PM Najib

0
60
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama dengan syarikat konglomerat kedua terbesar Korea Selatan, SK Group akan meneroka peluang pelaburan dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta rangkaian generasi kelima (5G), minyak dan gas, teknologi hijau serta bandar pintar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerjasama itu dijangka mempercepatkan sasaran Malaysia mencapai 20 negara teratas dunia dalam ekonomi di bawah Transformasi Nasional 2050.

“Dan itu sebabnya Kerajaan Malaysia dan SK Group – sebuah syarikat Fortune 100 dan konglomerat kedua terbesar oleh permodalan pasaran di Korea Selatan – telah bersetuju untuk mewujudkan perkongsian strategik di bawah NBOS, untuk mewujudkan perniagaan pertumbuhan tinggi dan peluang pelaburan baru dalam sektor utama ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan Malaysia dan SK Group serta Cyberview Sdn Bhd dengan SK Holdings Co Ltd dan SK Telecom Co Ltd.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi SK Group, Chey Tae Won.

Jelas Najib, SK Group dijangka membuka ibu pejabat serantau di Malaysia bagi mewakili perniagaanya di ASEAN, India dan Asia Barat.

“Kerjasama ini akan membolehkan SK Group melahirkan lebih banyak bakat-bakat berkemahiran tinggi tempatan serta pemimpin perniagaan masa hadapan menerusi latihan dan bimbingan yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia juga bakal menjadi pusat pengembangan perniagaan SK Group di rantau ini sekali gus menunjukkan keyakinan tinggi kumpulan itu kepada negara.

SK Group dikatakan berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia berikutan kestabilan politik, asas ekonomi yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang memberangsangkan.

Pada majlis sama, SK Group di bawah anak syarikatnya, SK Holdings Co. Ltd. dan SK Telecom Co. Ltd. turut memeterai MoU dengan Cyberview Sdn. Bhd. bagi membangunkan bandar pintar secara NBOS di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here