Malaysia tidak hadapi risiko terlalu terdedah kepada pelaburan dari China, kata penganalisis

0
50

KUALA LUMPUR: Malaysia terlindung daripada risiko terlalu terdedah kepada pelaburan dari China pada masa ini walaupun negara itu menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia.

Ketua Pakar Ekonomi dan Rakan Kongsi Deloitte China, Prof Stephen Xu Sitao berkata, ini kerana Malaysia mempunyai sumber ekonomi dan rakan perdagangan yang pelbagai.

“China menjadi rakan perdagangan Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut berikutan hubungan ekonomi yang menyeluruh antara kedua-dua negara,” katanya.

Xu berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Perbankan Global anjuran Institut Bank Berkanun Asia (AICB) di sini, pada Selasa.

Persidangan dua hari bertema ‘Industri Perbankan China – Peluang Untuk Pertumbuhan ‘ bermula hari ini dan dianjurkan AICB dengan kerjasama Universiti Tsinghua, Beijing.

Persidangan itu bertujuan menawarkan platform untuk peserta industri memperoleh pemahaman mendalam mengenai industri perbankan China, termasuk peluang, ancaman, dasar kewangan, pembaharuan serta risiko.

November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa masuk pelaburan bernilai US$33.6 bilion (US$1 = RM4.28) dari China, iaitu jumlah terbesar antara kedua-dua negara setakat ini.

China telah memberi komitmen untuk mengimport barangan bernilai US$2 trilion dari Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang, melonjak hampir lapan kali ganda berbanding 2016, di samping untuk melabur sehingga US$150 bilion di negara ini.

Pelaburan China di Malaysia telah meningkat mendadak sejak President Xi Jinping mengambil alih pucuk kepimpinan negara ekonomi kedua terbesar dunia itu pada 2012.

Ia menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2009, menggantikan Singapura dengan perdagangan dua hala bernilai US$83.4 bilion pada 2016.

Ketika pembentangannya, Xu berkata, China boleh belajar daripada kaedah kawalan modal Malaysia semasa Krisis Kewangan Asia pada 1998, di mana bank pusat telah menambat ringgit kepada RM3.80 bagi setiap dolar US.

“Pada pendapat saya, ia dilakukan pada masa yang tepat ketika kebanyakan mata wang Asia lain menerima tekanan.

“Jika China mahu melaksanakan kawalan modal, ia perlu dilakukan ketika mata wang negara secara relatifnya di bawah nilai. Bagaimanapun kami (China) belum memutuskan sama ada akan melakukannya atau tidak,” tambah beliau.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here