Malaysian Tigers calar rekod Australia A

0
47
Advertisement



 

SKUAD hoki lelaki negara berjaya mencalarkan rekod bersih Australia A apabila mengikat lawannya itu 2-2 dalam aksi keempat siri persahabatan di Perth, Australia, hari ini.

Bagaimanapun, keputusan itu hadir selepas Malaysian Tigers terlebih dulu tumpas 2-3, 2-4 dan 0-3 dalam tiga perlawanan terdahulu, dan akan beraksi dalam pertemuan terakhir Rabu ini.

Skuad kendalian Stephen van Huizen kini berada di Perth sebagai persiapan terakhir ke Sukan Asia dan setakat ini masih gagal meraih keputusan menggalakkan ketika sasaran mereka di Jakarta adalah untuk memenangi pingat emas bagi merebut tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020.

Dalam aksi hari ini, Australia A hanya memerlukan lapan minit untuk berada di depan sebelum Faizal Saari kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-21 dan Razie Rahim meledak gol kedua pada minit ke-52 menerusi pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, Australia A memperoleh gol penyamaan ketika permainan berbaki empat minit. Aksi berkenaan hanya menyaksikan Malaysia mendapat dua pukulan sudut penalti berbanding lima yang dimiliki Australia A.

“Perlawanan hari ini berlangsung begitu seimbang dan sengit,” kata Van Huizen. “Kami ada mencipta beberapa peluang berbahaya dan menunjukkan beberapa permainan individu yang baik tetapi masih berdepan kelemahan di bahagian penyudah.

“Akhirnya, kami banyak mempersia-siakan peluang sama ada menerusi penyudah yang berkarat, tidak cukup tajam ataupun sebab diselamatkan penjaga gol.”

Sebagai contoh, Van Huizen berkata: “Kami mendapat peluang keemasan di hujung permainan (menerusi serangan kilat) tetapi penyudah akhir tidak begitu menjadi.”

Bagaimanapun, Van Huizen tetap gembira dengan persembahan individu menarik pemainnya terutamanya Faizal.

“Kami menjaringkan gol penyamaan apabila bola lambungan jauh daripada Razie disambut Faizal dalam kawasan D dan dia berjaya memperdayakan penjaga gol sebelum menolak masuk bola ke gawang,” kata Van Huizen.

Selepas tiga kekalahan dan satu seri, Malaysia pastinya mahu mencari kemenangan pada aksi terakhir Rabu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here