Malaysian Tigress kembali 'bernyawa'

0
260
Advertisement



PAKAR pukulan sudut penalti negara, Nuraini Rashid harus lega apabila kembali menemui sentuhan gol ketika skuad hoki wanita negara menjinakkan Akademi Sukan Queensland (ASP) 3-1 di Brisbane, Australia, sebentar tadi.

Selepas gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi pertama siri persahabatan di Australia, pertahanan berusia 29 tahun itu jelas bernafsu apabila meledak dua gol menerusi percubaan terus pukulan sudut penalti.

Malah, jaringan ketiga negara menerusi kuisan menarik Hanis Nadiah Onn turut berpunca daripada tolakan pukulan sudut penalti yang diambil Nuraini sekali gus membuktikan dia kini berada dalam bentuk terbaik untuk ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.

“Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya berjaya menamatkan badi gol di sini selepas mensia-siakan beberapa peluang daripada lima dan 13 pukulan sudut penalti yang diterima pada dua perlawanan pertama.

“Ia turut meningkatkan keyakinan saya, apatah lagi Akademi Sukan Queensland ini tidak kurang hebatnya, kebanyakan pemainnya boleh dikatakan setanding atau lebih baik daripada kita. Jadi, kemenangan ini amat bermakna buat kami,” kata Nuraini ketika dihubungi.

Sepanjang 60 minit aksi di Pusat Hoki Brisbane tadi, Malaysia memperoleh lima pukulan sudut penalti dengan tiga daripadanya berjaya disempurnakan untuk Malaysia meraih kemenangan pertama selepas terikat 2-2 dan 1-1 dengan lawan sama sebelum ini.

Skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah itu turut menampakkan peningkatan dari segi bentesan ketika pengendali itu kini gemar mengarahkan pemainnya melakukan bentesan dan mengepung pemain lawan secara berkumpulan.

“Saya rasa ia antara persembahan terbaik yang kami pamerkan di sini setakat ini,” kata Dhaarma. 

“Kami bertahan dan melakukan serangan balas dengan baik selain turut berjaya mencipta deretan peluang.

“Pada suku keempat kami tidak memberikan mereka sebarang peluang dan pukulan sudut penalti. Ini adalah petanda yang bagus kerana kami sebelum ini sering melepaskan gol selepas mendahului lawan.

“Saya turut gembira dengan persembahan beberapa pemain seperti Wan Norfaiezah (Saiuti), Hanis Nadiah, Nuraini, Siti Noor Amarina (Ruhani) dan Raja Norsharina (Raja Shabuddin) dengan pemain muda Kirandeep (Kaur) pun bermain baik.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here