Malu laa dengan Maciel

0
230
Advertisement



KUALA LUMPUR: Persatuan bola sepak negeri atau kelab yang enggan melepaskan pemain untuk mewakili skuad Bawah 23 Tahun (B-23) ke Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan patut berasa malu kepada jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel yang ternyata lebih patriotik daripada mereka.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah berkata, kesediaan Maciel untuk melepaskan tiga pemainnya, Khatul Anuar Md Jalil, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik Ishak demi kepentingan skuad negara seharusnya menjadi tamparan dan membuka mata pihak yang keberatan melepaskan pemain mereka.

“Fabio bukan rakyat Malaysia, dia hanya jurulatih import dari Brazil yang makan gaji di sini tapi saya sangat menyanjung pendirian beliau kerana sanggup mengetepikan kepentingan pasukannya demi skuad kebangsaan kita.

“Inilah jurulatih yang benar-benar berjiwa bola sepak kerana beliau tahu bagaimana mahu meletakkan sukan itu di tempatnya dan apakah yang mesti di dahulukan.“Tapi, ada antara kita, rakyat Malaysia hanya mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan negara. Mereka sepatutnya berasa malu kepada Fabio,” kata Azraai.

Maciel memberi ‘lampu hijau’ kepada ketiga-tiga pemainnya atas alasan panggilan skuad kebangsaan perlu dijadikan keutamaan walaupun Kuala Lumpur turut memerlukan khidmat mereka untuk mengharungi pertandingan Piala Malaysia yang bertembung dengan jadual Sukan Asia.

Selain Kuala Lumpur, juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menyatakan kesediaan melepaskan lapan pemain termasuk seorang pemain JDT II sementara PKNS FC juga rela membenarkan dua pemainnya menyarung jersi negara.

Isu pelepasan pemain kembali menghantui skuad kebangsaan ekoran sikap beberapa persatuan dan kelab yang keberatan untuk melepaskan pemain kerana bimbang ia menjejaskan pasukan masing-masing dalam kempen Piala Malaysia.

Situasi sama pernah dihadapi oleh Datuk Ong Kim Swee semasa kempen kelayakan Bawah B-23 Asia di Bangkok tahun lalu apabila Nor Azam Azih, Matthew Davies (Pahang), Safawi Rasid, Haziq Nadzli (JDT), Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran (Pulau Pinang) yang dipanggil tidak mendapat pelepasan pasukan mereka.

“Sikap sebegini sangat menyedihkan dan tidak patut berlaku. Bagi saya, mereka yang hanya mementingkan diri sendiri sebegini tidak sepatutnya berada dalam bola sepak kita.

“Bila skuad kebangsaan merosot kita ‘kondem’ tapi kita sendiri tidak sanggup berkorban hanya kerana nak kejar kejayaan dalam pertandingan tempatan sedangkan Sukan Asia mempertaruhkan maruah negara,” tempelak Azraai.

SHARE
Previous articleBarca sabotaj Roma
Next articleBudak mangsa asid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here