Mana ada Poad, situ ada Khairul

0
57
Advertisement



SUDAH berulang kali diajukan soalan adakah Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan bersedia menerima angin baru dengan bertukar jurulatih dan jawapan pelari terbaik negara itu tetap sama, ‘tidak’.

Pelari berusia 20 tahun itu menjawab khabar angin selepas jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim dilaporkan mendapat tawaran menjadi jurulatih di salah satu negara Asia Tenggara.

“Saya belum bersedia berpisah dengan beliau.

“Andai benar dia akan berhijrah, saya akan ikut ke mana beliau pergi.

“Tapi dalam hati saya, saya harap beliau tidak akan pergi dan semua itu hanya khabar angin,” katanya.

Pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan catatan 10.18s yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setibanya dari Mannheim, Jerman bagi mengikuti rangka latihan dan pertandingan selama 36 hari di sana, diajukan soalan adakah keputusan Poad untuk tidak ke Jerman itu sebagai petanda awal untuk menggajarnya berdikari, Khairul Hafiz enggan memberi komen lanjut.

“Situasi di Jerman dan beliau berpindah adalah dua situasi berbeza.

“Biarpun jurulatih Poad di Malaysia tapi sepanjang saya dan kawan-kawan lain di Jerman, beliau sentiasa memantau perkembangan kami.

“Saya perlu jujur dengan diri sendiri jadi saya akan ikut segala program latihan yang diaturkan jurulatih Poad.

“Beliau tidak pernah meninggalkan kami tanpa pengawasan jadi saya harap beliau tidak akan meninggalkan Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan menjelang temasya Sukan Asia pada 18 Ogos ini, Khairul Hafiz berkata, latihan dan pertandingan di Jerman membantu rentak lariannya sehingga berjaya mendapatkan catatan masa terbaik peribadi tahun ini, 10.28s dan dia kini begitu teruja untuk beraksi dan bersaing dengan jaguh Asia yang lain.

Antara yang menjadi tumpuan pastinya pelari muda dari Indonesia yang muncul sebagai juara remaja dunia baru-baru ini, Lalu Muhammad Zohri.

Katanya, Sukan Asia adalah peluang terbaik untuk melihat Lalu Zohri beraksi kerana dia adalah pencabar utama di Sukan SEA tahun depan di Filipina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here