'Mana boleh Harimau import!'

0
273
Advertisement



“Skuad kebangsaan perlu dibarisi pemain yang lahir di negara ini!” kata bekas pertahanan kebangsaan, Datuk Santokh Singh.

Bekas pertahanan yang mewakili skuad kebangsaan pada era 70an itu nyata tidak bersetuju dengan cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mahu menggunakan khidmat ‘harimau import’ sebagai alternatif untuk melonjakkan ranking bola sepak negara.

Santokh berkata, FAM tidak perlu ‘meniru’ pendekatan yang diambil oleh Filipina dengan menaturalisasikan pemain mereka kerana baginya, itu bukanlah cara yang sepatutnya.

“Mana boleh kita beri orang luar mewakili skuad kebangsaan. Bagi saya, pasukan Malaysia perlulah dibarisi oleh mereka yang lahir di sini, yang darahnya tumpah di bumi Malaysia ini.

“Tidak dinafikan ada negara yang mengambil pendekatan sebegitu namun masih ada cara lain yang boleh difikirkan untuk meningkatkan mutu bola sepak negara ini.

“Pasukan tetap boleh meraih kejayaan meskipun tanpa pemain naturalisasi seperti yang dibuktikan oleh Thailand yang menggunakan pemain tempatan dan juga pembangunan akar umbi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, badan induk itu sedia mengkaji cadangan untuk membenarkan pemain naturalisasi mewakili skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Perkembangan itu dimaklumkan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui cadangan menaturalisasikan pemain luar dengan memberi kerakyatan negara ini dilihat menjadi alternatif terbaik untuk membantu memperbaiki kedudukan pasukan kebangsaan seperti yang dilakukan oleh Filipina.

Bagaimanapun, Hamidin menegaskan cadangan itu masih di peringkat awal dan banyak lagi ‘kerja’ yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan cadangan itu dapat direalisasikan.

Sebelum ini, FAM hanya memberi ‘lampu hijau’ kepada pemain berdarah campuran yang memiliki hubungan susur galur di Malaysia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Antara pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan termasuklah Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka United).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here