Mantap pada kelajuan tinggi

0
95



Sering muncul dalam filem Hollywood dan dikenali sebagai kenderaan dengan reka bentuk maskular, Ford Mustang serba baru kini hadir menampilkan pakej gaya dan prestasi untuk sebuah kenderaan sport coupe.

Dilancarkan ketika Pameran Dunia New York 1964 model ini terus menjadi popular dan menjadi bualan hangat yang disasarkan untuk golongan muda dengan konsep fastback 2+2 melonjakkan namanya sebagai kereta idaman rakyat Amerika Syarikat.

Lebih 50 tahun berada di pasaran global, akhirnya pada Jun tahun lalu ia dibawa masuk ke Malaysia oleh Ford Motor Company melalui pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion.

Untuk pasaran tempatan ia ditawarkan dengan dua varian iaitu 5.0L Ti-VCT V8. Penulis berpeluang memandu uji model 2.3L EcoBoost melalui Lebuhraya Elite menuju ke Sepang dan ternyata bukan sahaja mantap pada kelajuan tinggi namun menjadi perhatian.

Melihat reka bentuk luaran Mustang masih mengekalkan DNA asalnya dengan bahagian enjin hadapan lebih panjang dan but pendek daripada kelas Pony Car.

Model ini diberi sentuhan lebih aerodinamik serta agresif dengan lampu hadapan automatik HID termasuk cahaya adalah signatur model sambil menyerlahkan kegagahannya termasuk gril hadapan dengan logo kuda sebagai ciri ikonik untuk kenderaan prestasi jenama Ford.

Panjang keseluruhan 4,784mm namun tangkas di jalan raya termasuk but yang luas untuk membawa muatan kegunaan harian atau tujuan gaya hidup.

Rim aloi bersaiz 19 inci berpadanan sebagai sebuah model prestasi memperlihatkan kemantapan keseluruhan rekaannya.

Bukan sahaja selesa malah ruang dalaman berkonsepkan sebuah jet pejuang Amerika Syarikat P-51 Mustang, iaitu nama yang diambil daripada sebuah kapal terbang perang dunia kedua, menampilkan ciri elegan dan mewah.

Pedal brek dan kelajuan daripada aluminium dengan papan pemuka serta skrin sesentuh 8 inci antara yang menarik seperti sistem aktifan suara SYNC 2 membolehkan pemandu menggunakan arahan lisan untuk mengawal sistem hiburan kenderaan dan panggilan telefon yang juga boleh diaktifkan pada roda stereng dan peranti mudah alih termasuk penyambung USB dan media di konsol tengah.

Menambahkan gaya ialah punat menukar mod pemanduan bercirikan suis dalam kokpit juruterbang termasuk kemasan pintu dengan elemen krom menjadikan ia bukan sahaja lebih elegan malah praktikal.

Kerusi balutan kulit untuk pemandu dengan enam mod boleh laras elektronik termasuk penumpang hadapan menyerlahkan lagi rekaan serta kerusi belakang yang terpisah boleh dilipat untuk tujuan membawa muatan yang bersaiz besar.

Sistem bunyi nyata terbaik dilengkapi pemain CD dan radio dengan sembilan pembesar suara bersama amplifier menjadikan perjalanan lebih santai dengan audio berkualiti tinggi.

Paling memberikan kesan ialah ketika pemanduan di lebuh raya apabila Mustang nyata menyalurkan kuasa seperti yang kita mahukan melalui sistem pancitan bahan api terus, pemasaan cam boleh ubah dan pengecas turbo.

Meskipun berkuasa 2.3L dengan enjin EcoBoost hadir bersama kuasa yang mencecah 317PS dan tork 432Nm adalah lebih berprestasi berbanding Mustang tahun 1964 yang dijana enjin V8 menawarkan prestasi dengan kawalan terutama ketika laluan lurus atau memintas kenderaan.

Tukaran gear lancar bersama enam kelajuan SelectShift gaya manual namun beroperasi secara automatik selain memberi penggunaan petrol yang cekap antara kelebihan enjin dan kotak gear ini tetapi dalam masa yang sama kepuasan memandu dirasai.

Ketika melayan selekoh model yang turut dipasangkan dengan suspensi hadapan tahan lasak memberikan ia kawalan yang stabil dengan topang MacPherson dan besi penstabilan melalui pacuan roda belakang ia menyalurkan tenaga lebih baik dengan suspensi independent integral link.

Melalui empat mod pemanduan iaitu Normal, Sport+, Track dan Snow/Wet termasuk tiga larasan pada stereng bagi memberikan anda pengendalian sebuah jentera perlumbaan atau pemanduan santai.

Sebagai sebuah model sport coupe Mustang dilihat bukan sahaja untuk kegunaan prestasi malah sesuai dipandu untuk aktiviti harian yang menawarkan enjin yang lancar dalam apa juga kelajuan selain selesa dengan tempat duduk 2+2.

Selain itu ciri keselamatan terbaik disediakan seperti Brek Anti-Kunci (ABS), Pengaliran Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Isofix, MyKey, Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS), kemasukan pintar dan banyak lagi.

Semua Mustang dipasang di Flat Rock, Amerika Syarikat dibawa masuk secara import sepenuhnya (CBU) untuk pasaran di negara ini ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Race Red, Oxford White, Black, Magnetic Metallic dan Deep Impact Blue dijual pada harga bermula daripada RM488,888 (2.3L EcoBoost) dan RM598,888 (GT 5.0L) atas jalan tanpa insurans.

Untuk menonton paparan video pandu uji Ford Mustang ini anda boleh muat turun percuma aplikasi Speed & Wheels (S&W) di telefon pintar atau tablet anda melalui carian: iOS: https://goo.gl/RupZtR atau Android: https://goo.gl/8RlU4W.

SPESIFIKASI:

Ford Mustang 2.3L EcoBoost l-4

Enjin: 2.3 liter

Kuasa maksimum:

317 PS pada 5,500 rpm

Tork maksimum:

432Nm pada 4,250rpm

Kapasiti petrol: 60 liter

Ciri keselamatan: Brek Anti-Kunci (ABS), Pengaliran Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Isofix, MyKey dan Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS)

Harga: RM488,888 (atas jalan tanpa insurans)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here