Manusia paling malas bersenam pun berjaya turun berat 22kg – Rahim Sepahtu

0
40

PELAWAK Rahim Sepahtu akui tidak menyangka dapat menurunkan berat badannya sebanyak 22.5 kilogram (kg) selepas lima minggu menjalani program Misi XL Rahim oleh Sinar FM.
 
“Asalnya misi ini hanyalah sekadar gurauan, tapi bila mereka kata dah ada jurulatih kesihatan, saya mula dapat rasakan program ini serius.
 
“Jadi saya ambil keputusan untuk cuba lagipun program ini hanya berlangsung selama lima minggu dan mereka lebih fokus untuk kurangkan saiz, bukannya berat.
 
“Disebabkan rasa tidak yakin, saya hanya minta untuk kurangkan saiz XXXL kepada XXL namun mereka kata terlalu senang dan tidak mencabar.
 
“Memang berat hati nak mulakan misi ini sebab saya seorang yang paling malas nak bersenam tapi saya nekadkan hati dan kuatkan semangat.
 
“Alhamdulillah saya sendiri tak sangka berjaya dapatkan saiz XL, pengorbanan dan usaha saya selama ini tidak sia-sia,” katanya kepada Astro Gempak.
 
Dalam pada itu, Rahim juga memberitahu tidak akan mensia-siakan ilmu yang diberikan oleh jurulatih kesihatan dan akan terus mengamalkan gaya hidup sihat.
 
“Bukan senang orang yang dah berumur seperti saya mahu turunkan berat, jadi bila fikir balik takkan saya mahu sia-siakan perkara baik seperti ini.
 
“Lebih baik teruskan sahaja lagipun ini untuk kebaikan kesihatan saya juga. Ilmu yang diberikan oleh ‘coach’ Amirul dan Aminah akan saya praktikkan dalam kehidupan harian,” ujarnya.
 
Terdahulu, Rahim yang juga merupakan penyampai radio Sinar FM telah menjalani ‘MisiXLRahim’ sejak 24 Julai lalu dengat berat sebanyak 125kg.
 
Teks oleh: Mya Amri
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here