MARA Kelantan diperuntuk RM34 juta laksana program pembangunan usahawan

0
73



KOTA BHARU: Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kelantan diperuntukkan sebanyak RM34 juta untuk membantu usahawan yang dianggarkan seramai 2,278 orang di negeri ini, pada tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM32 juta diagihkan dalam bentuk bantuan pinjaman kewangan yang dijangka akan dapat dimanfaatkan oleh 360 orang usahawan.

“Baki sebanyak RM2 juta lagi adalah dalam bentuk latihan kepada usahawan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Usahawan Mara Kelantan di sini, malam tadi.

Ismail Sabri berkata Mara telah merangka program pembangunan usahawan yang sistematik dan holistik bagi melahirkan usahawan Bumiputera yang bukan sahaja menjadi juara peringkat nasional malah peringkat global.

Beliau berkata antara aspek yang diberi penekanan dalam program pembangunan usahawan tersebut adalah pembangunan produk, penjenamaan dan pembangunan standard.

“Ini merupakan elemen yang penting untuk usahawan beri penekanan supaya mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan peringkat nasional dan global,” katanya.

Beliau mahu usahawan bersama Mara meneroka bidang baharu seperti aeroangkasa, marin dan tenaga boleh diperbaharui, untuk melahirkan usahawan berasaskan teknologi terkini.

Turut hadir bersama lebih 500 usahawan Kelantan ialah Pengarah Mara Kelantan, Ismail Abdullah dan Pengerusi Persatuan Usahawan Mara Kelantan, Mohd Nazir Daut.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here