Marquez ghairah buru mata

0
12
Advertisement



KETIKA saingan MotoGP memasuki separuh perjalanan musim ini, pendahulu saingan, Marc Marquez tetap optimis dengan peluangnya untuk terus menjarakkan kedudukan apabila bakal turun di litar Automotodrom Brno, Republik Czech, Ahad ini.

Dia yang memenangi lima daripada sembilan saingan termasuk dua perlumbaan di litar Assen dan Sachsenring kini sudah mengumpul 165 mata.

Ia diekori rapat dua pelumba Yamaha, Valentino Rossi (119 mata) serta Maverick Vinales (109 mata).

Selepas saingan MotoGP berehat selama tiga minggu, juara bertahan itu melaungkan keyakinan mampu menamatkan perlumbaan di kelompok atasan.

“Kami berada di landasan baik untuk meneruskan momentum kemenangan selepas meraih keputusan baik dalam dua perlumbaan sebelum ini.

“Ia penting bagi menambah keyakinan sebaik tiba di Brno nanti,” kata juara dunia MotoGP empat kali itu.

“Rehat selama tiga minggu ini juga baik untuk kami perbaiki segala kelemahan sebelum meneruskan baki saingan yang masih panjang jauh dengan 10 perlumbaan untuk ditamatkan.

“Saya akan cuba yang terbaik di Brno dan tidak memikirkan kelebihan jurang mata yang ada. Sebaliknya saya akan turun, seolah-olah masih tiada mata lagi yang dikutip,” katanya. 

Mengulas mengenai perlumbaan pada hujung minggu ini di litar Brno itu, pelumba Sepanyol itu mengakui litar sepanjang 5.4 kilometer itu sukar untuk ditawan, terutamanya pada setiap selekoh yang dianggap cukup tajam.

“Litar ini agak sukar berbanding yang lain. Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk menyerah kalah kerana apa-apa boleh berlaku ketika perlumbaan.

“Saya pernah memenangi perlumbaan di litar itu ketika beraksi di kelas Moto3 dan pengalaman itu akan saya bawa apabila turun ke gelanggang nanti,” kata pelumba Honda itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here