Marquez idam takluk GP Jerman

0
344
Advertisement



PENDAHULU MotoGP, Marc Marquez berkata, dia akan memanfaat kemenangan epik di Assen minggu lalu sebagai motivasi menuju perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman, hujung minggu ini di Litar Sachsenring.

Pelumba Repsol Honda itu menamatkan perlumbaan GP Belanda di puncak podium selepas persaingan menakjubkan yang menyaksikan 15 pelumba melepasi garisan penamat dengan perbezaan 16.043 saat.

Ia adalah penamat di kedudukan 15 terbaik paling hampir sepanjang zaman di MotoGP dan jelas ia meningkatkan semangat jaguh Sepanyol, Marquez yang memburu kejuaraan dunia kelimanya dalam kelas elit itu musim ini.

Litar di Sachsenring sepanjang 3.67 kilometer adalah yang terpendek dalam kalendar MotoGP tetapi ia juga sempit dan berliku justeru satu lagi perlumbaan sengit dijangka dapat disaksikan.

Apa yang pasti ialah Marquez dan rakan sepasukannya, Dani Pedrosa sudah mendominasi litar di Jerman itu dengan masing-masing mengumpul 14 kemenangan di antara mereka termasuk berdiri di atas podium bersama-sama pada 2014, 2015 dan 2017.

Marquez sudah memenangi lapan kemenangan berturut-turut di Sachsenring dalam ketiga-tiga kelas perlumbaan termasuk lima di MotoGP (2013, 2014, 2015, 2016, 2017) dengan kesemuanya bermula daripada petak utama dengan kali terakhir Pedrosa menang di sini ialah pada 2012 selain 2007, 2010 dan 2011.

“Kemenangan yang kami raih di Assen adalah penting kerana ia adalah perlumbaan di mana kamu mudah untuk melakukan kesilapan, tetapi sebaliknya apabila kami mampu untuk menggandakan kelebihan dalam kejuaraan,” kata Marquez.

“Kini kami akan mengharungi sirkit yang amat berlainan di mana kami kebiasaannya amat kuat, tetapi setiap tahun adalah berbeza. Cuaca boleh memainkan peranan penting, seperti yang kita lihat sebelum ini. Jika ia hujan atau tidak, segala-galanya akan berubah amat pantas dan kamu perlu bersedia.

“Jadi mari kita lihat. Kami akan pergi ke sana dan cuba untuk menilai tahap kami dan menjadi kuat pada permulaan minggu. Kemudian pada Ahad kami akan bertarung untuk podium sekali lagi.”

Pedrosa mengakui Sachsenring sebagai “litar yang saya gemari” dan berharap prestasi yang baik di Assen akan diteruskan.

Marquez ketika ini sudah mengumpul 140 mata daripada lapan perlumbaan berbaki 11 pusingan dengan dua pelumba Yamaha, Valentino Rossi dan Maverick Vinales kedua dan ketiga selepas masing-masing mengutip 99 dan 93 mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here