Masa depan Bashar bukan faktor tamatkan perang: Trump

0
67


TRUMP memberitahu PBB bahawa masa depan Presiden Syria, Bashar al-Assad bukanlah ‘penentu’ perjanjian yang bakal menamatkan perang. – Foto AFP

NEW YORK (PBB): Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan memberitahu duta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa masa depan Presiden Syria, Bashar al-Assad bukanlah ‘penentu’ perjanjian yang bakal menamatkan perang.

Kuasa usaha Russia, Petr Iliichev, berkata Trump yang melabelkan Bashar sebagai ‘penyembelih’ memberitahu segala-galanya bergantung kepada rakyat Syria untuk menentukannya.

Beliau dilaporkan berkata demikian pada satu majlis jamuan tengah hari bersama 15 duta ke Majlis Keselamatan, PBB di Rumah Putih, Isnin lalu.

“Beliau (Trump) berkata masa depan Bashar bukanlah penentunya. Trump berkata sama ada beliau (Bashar) kekal atau sebaliknya tidak penting.

“Apa yang penting ialah proses politik, menghentikan pembunuhan dan permusuhan. Kemudian rakyat akan membuat keputusan,” kata Iliichev kepada AFP.

Rundingan tajaan PBB bagi mengakhiri perang selama enam tahun di Syria itu gagal mencapai matlamatnya selepas pihak pembangkang meminta supaya Bashar meletakkan jawatan, sebagai sebahagian daripada penyelesaian.

Bagaimanapun, Russia iaitu sekutu kuat Bashar, mahu nasib Bashar ditentukan menerusi pilihan raya. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here