Masalah sama berulang kembali?

0
115
Advertisement



KUALA LUMPUR: Apa yang dibimbangkan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee mungkin berulang apabila beliau dijangka berdepan masalah mendapatkan pemain terbaik mengharungi kempen Sukan Asia di Indonesia bulan depan.

Meskipun senarai 24 pemain sudah diumumkan Rabu lalu bagi mengikuti latihan pusat pada 30 Julai ini, namun tiada jaminan untuk pemain berkenaan akan mendapat pelepasan pasukan masing-masing.

Ini berikutan pertembungan saingan Sukan Asia dengan Piala Malaysia yang turut akan bermula pada awal Ogos ini.

Perkara itu diakui oleh kapten Pahang, Matthew Davies yang belum mengetahui statusnya untuk mendapat kebenaran menyertai skuad B-23.

“Saya tidak tahu, maaf saya tak boleh komen lagi mengenai perkara ini. Setakat ini belum ada perbincangan dengan pihak pengurusan. Jadi adalah baik agar saya tak beri sebarang kenyataan,” katanya.

Perkara yang sama diluahkan oleh pemain perancang yang membantu skuad B-23 melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC di China Januari lalu, Nor Azam Azih.

“Memang saya gembira dapat terpilih bersama pasukan ke Sukan Asia, tapi masalahnya tarikh untuk latihan pusat itu bertembung dengan jadual Piala Malaysia, takut tak dapat pelepasan pihak pengurusan.

“Pada saya dua-dua tugas ini sama penting jadi saya biarkan pihak pengurusan buat keputusan.

“Tak adil juga kalau saya lewat menyertai pasukan sedangkan pemain lain sudah berlatih awal. Jika saya tak berlatih dan terus bersama pasukan ke Sukan Asia, susah nak dapat keserasian nanti,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Melihat kepada masalah ini, kemungkinan pemain beberapa pasukan lain juga berdepan situasi yang sama.

Pada pusingan kelayakan B-23 AFC di Bangkok tahun lalu kontroversi melanda apabila Azam, Davies, Safawi Rasid dan Haziq Nadzli (Johor Darul Ta’zim), Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran (Pulau Pinang) tidak mendapat pelepasan majikan mereka.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh mengenakan sebarang tindakan memandangkan Sukan Asia tidak terikat dengan kalendar FIFA.

Selain itu, Kim Swee turut memanggil tiga pemain senior Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali dari Kedah serta Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT) ke Sukan Asia mengikut kuota yang ditetapkan namun status mereka untuk bersama pasukan juga belum diketahui setakat ini.

Jika ia berlaku lagi, ia sesuatu yang menyedihkan kerana pasukan handalan seperti Korea Selatan bersungguh-sungguh menyenaraikan pasukan terkuat termasuk memanggil bintang Piala Dunia, Son Heung-min dan penjaga gol, Cho Hyun-woo dalam skuad mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here