Masih mampu curi lima mata

0
80



Kuala Lumpur: Faktor pengalaman nyata menjadi kunci kemampuan pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah yang sekali lagi berjaya mengutip mata pada pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix Amerika, awal pagi semalam.

Hanya bermula di petak ke-19, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu membuktikan ia bukan alasan untuknya gagal mengutip sebarang mata, sebaliknya kekal tenang mengemudi jenteranya hingga menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 sekali gus meraih lima mata.

Selepas tiga pusingan, Hafizh yang dilihat sering bergelut dalam sesi kelayakan, sudah mengumpul 11 mata dan ia pasti memberi suntikan semangat kepadanya untuk mengharungi cabaran selepas ini.

“Saya melalui hari perlumbaan yang amat bagus. Tapi saya akui perlu bekerja keras untuk lebih laju pada sesi kelayakan, begitu juga dengan strategi yang baik.

“Saya sedar mampu meraih keputusan lebih baik ketika perlumbaan sebenar sekiranya memperoleh petak lebih baik di awal perlumbaan.

“Kami sedang berusaha untuk memperoleh pelarasan lebih baik supaya jentera lebih pantas pada pusingan selepas ini,” katanya.

Jelas Hafizh, bagi tujuan itu, dia perlu meluangkan lebih banyak masa dengan kru pasukannya.

“Kami juga sedang berusaha untuk memperbaiki kelemahan dalam segala aspek,” katanya.

Seorang lagi pelumba negara Khairul Idham Pawi yang beraksi dengan Idemitsu Honda Team Asia juga bergelut apabila bermula di petak ke-28 tetapi gagal mempamer tunggangan meyakinkan pada perlumbaan sebenar apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-25.

Dalam saingan Moto3, wakil tunggal negara Adam Norrodin (SIC Racing Team) turut melalui hari mengecewakan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-19 selepas hanya bermula di petak ke-25.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here