Masih terlalu awal untuk nilai impak ekonomi kerajaan baharu

0
70
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan masih terlalu awal untuk menilai impak akibat pelaksanaan dasar-dasar kerajaan baharu terhadap ekonomi Malaysia, demikian menurut Pakar Ekonomi Moody’s Analytics, Katrina Ell.

Beliau berkata, pasaran kewangan Malaysia juga ternyata lebih cenderung ke arah penyusutan berikutan ketidaktentuan membabitkan dasar yang disenaraikan.

“Barisan Nasional telah memegang tampuk pemerintahan selama 60 tahun dan ini merupakan perubahan besar dari segi peralihan kuasa.

“Oleh itu, kesan dari segi implikasi ekonominya juga akan memakan masa (untuk dinilai),” katanya dalam temu bual secara emel dengan Bernama News Channel dari Australia.

Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas yang turut menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama enam dekad selain menjadi peralihan kuasa yang bersejarah untuk Malaysia.

Mengulas cadangan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ell berkata: “Tindakan itu akan meningkatkan kebergantungan kerajaan terhadap pendapatan berasaskan hasil minyak dan mengurangkan asas pencukaian.”

Malaysia akan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sebelum GST pada 2015 dan membabitkan kutipan lebih kecil dari segi sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding GST, katanya.

“Tidak mungkin kesan berganda susulan penggunaan lebih tinggi akibat cukai lebih rendah dapat mengimbangi impaknya terhadap hasil kerajaan.

“Penyelamat sementara bagi Malaysia adalah kenaikan harga minyak. Negara ini merupakan pengeksport minyak bersih dan kenaikan harga minyak akan meningkatkan pendapatan cukai kerajaan, pengeluaran serta eksport.

“Hanya masa yang dapat menentukan sama ada perubahan rejim ini merupakan satu kejayaan manakala pemansuhan GST dan impak susulannya pula akan menjadi ujian pertama yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata ia merupakan strategi yang wajar bagi kerajaan PH menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada individu yang dihormati untuk menasihati kerajaan dan meredakan kebimbangan mengenai pengurusan ekonomi pada masa depan yang berbeza berbanding sebelum ini dari segi strategi yang lebih luas.

Dr Mahathir turut berjanji untuk mengkaji semula pelaburan asing, termasuk sebahagian daripada projek Satu Jalur Satu Laluan China.

Beliau mengingatkan jika sebahagian daripada projek ini dibatalkan dan masalah infrastruktur tidak ditangani, ia akan menjejaskan produktiviti jangka panjang.

Pada 2017, pertumbuhan KDNK Malaysia melonjak kepada 5.9 peratus, kadar paling cepat sejak 2014 dan meningkat daripada 4.2 peratus pada 2016 -ini disebabkan persekitaran global yang pesat dan pendedahan besar Malaysia kepada peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan.

“Peningkatan daripada permintaan global yang memberangsangkan adalah kurang diyakini pada 2018 dan risiko penurunan meningkat, terutamanya disebabkan peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang mengancam untuk mengurangkan aliran perdagangan dengan ketara,” katanya, sambil menambah pertumbuhan KDNK Malaysia diunjurkan pada 5 peratus bagi 2018.

Pada minggu sebelum PRU14, Moody’s Investors Service meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun ini kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus yang diunjurkan sebelum ini, disokong oleh perancangan projek infrastruktur yang besar yang dijangka merangsang pelaburan awam dan swasta. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here