Mat Zan tiada dalam senarai

0
30



Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menafikan Mat Zan Mat Aris akan kembali membimbing skuad terbabit bagi mengharungi baki saingan musim ini.

Walaupun berjaya menerajui Melaka muncul juara Liga FAM 2015, Liga Perdana 2016 sekali gus mara ke Liga Super musim ini, khidmat Mat Zan tidak disambung dan MUSA menamakan Eric Williams sebagai penggantinya.

Timbalan Presiden MUSA yang juga pengurus pasukan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan jurulatih berkenaan.

“Ia hanya spekulasi berikutan prestasi Melaka yang agak merosot di Liga Super ketika ini.

“Kami memiliki senarai nama beberapa jurulatih berpengalaman untuk membimbing Melaka andai khidmat Wiliams tidak diteruskan musim ini.

“Dalam senarai berkenaan, tiada nama Mat Zan disebabkan beberapa faktor yang sudah diketahui umum. Apapun nama yang dikenal pasti hanya cadangan. Kemungkinan besar Williams dikekalkan tetap ada,” katanya sambil menambah keputusan mengenai perkara itu dijangka diketahui penghujung minggu ini.

MUSA sebelum ini membayangkan jodoh Williams bersama Melaka mungkin tidak berpanjangan selepas beliau direhatkan ketika skuad Hang Tuah berdepan FELDA United di Jengka, 24 Mei lalu.

Tugas Williams diambil alih pembantunya G Selvamohan namun kekalahan 0-3 kepada lawan mendorong MUSA untuk memikirkan perancangan lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here