Matrade pergiat aktiviti perniagaan seiring Singapura sebagai Pengerusi ASEAN

0
18

SINGAPURA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan mempergiatkan aktiviti perniagaan di sini memandangkan Singapura bakal mengambil alih jawatan pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharimahton Mat Saleh.

Beliau berkata, bukan hanya di Singapura, malah Matrade akan meningkatkan aktivitinya di seluruh ASEAN memandangkan banyak peluang dan kerjasama diwujudkan selepas perkumpulan itu meraikan ulang tahun ke-50 pada Ogos lepas.

“Keseluruhannya, kebanyakan produk syarikat peringkat pertengahan (MTC) kita menepati keperluan ASEAN,” katanya kepada Bermama ketika ditemui di luar Sesi Perkongsian dan Jaringan sempena Akses Pasaran MTC Malaysia ke Singapura baru-baru ini

Beliau berkata, pasaran ASEAN dan MTC Malaysia saling memerlukan antara satu sama lain dan Malaysia tidak boleh melepaskan peluang pasaran sangat luas itu.

Bagi pasaran Singapura, katanya, terdapat MTC Malaysia yang telah mengeksport ke republik ini menerusi usaha mereka sendiri.

“Mereka berpendapat tidak perlu untuk mendapatkan bantuan kami (Matrade), namun kami merasakan mereka perlu mendapat dorongan tambahan daripada kerajaan. Oleh itu, di sini dengan bantuan rakan sejawat kami, mereka telah diperkenalkan kepada pihak baharu. Pastinya, ia memberi nilai tambah,” katanya.

Menurut laman web Matrade, Program Pembangunan MTC ditubuhkan pada 2014 untuk membantu MTC Malaysia mempercepatkan pertumbuhan eksport dan memperkukuhkan peranan perniagaan teras masing-masing.

Setiap tahun, hanya 50 MTC berprestasi tinggi dipilih untuk menyertai program selama sembilan bulan.

MTC ditakrifkan sebagai syarikat yang merekodkan perolehan tahunan antara RM50 juta dan RM500 juta dalam sektor pembuatan, serta antara RM20 juta dan RM500 juta dalam sektor lain.

Sharimahton berkata, setakat ini terdapat 173 MTC di bawah bidang kuasa Matrade.

Antaranya ialah Secret Recipe, Pelita, Royal Selangor, Tomei, Coolblog dan Marrybrown.

MTC mewakili sumber kekuatan penting di sebalik ekonomi Malaysia.

Terdapat hampir 10,000 MTC di Malaysia, walaupun merangkumi hanya satu peratus daripada kesemua syarikat Malaysia, MTC secara terkumpul menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dan mempunyai lebih 22 peratus daripada jumlah tenaga kerja.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here