Maute hampir tewas

0
35



Marawi: Tentera Filipina semalam menggesa militan Maute menyerah diri selepas pihak berkuasa negara itu berjaya menguasai semula hampir 85 peratus bandar Marawi daripada kumpulan militan itu.

Dalam pertempuran yang masuk hari kelapan semalam, tentera menggunakan kereta perisai dan melancarkan serangan roket dari helikopter, menyasarkan kedudukan militan.

Tentera berkata, pasukan keselamatan semakin hampir menguasai semula Marawi yang ditawan kumpulan Maute yang ada hubungan dengan militan Daish itu.

“Kami menggesa saki-baki pengganas itu menyerah diri selagi masih ada peluang,” kata jurucakap tentera, Restituto Padilla.

Helikopter dilihat berlegar di satu kawasan bandar, tempat kepulan asap dilihat keluar dari beberapa bangunan sementara anggota tentera menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan lorong.

Bunyi letupan dan tembakan senjata automatik kedengaran sekali-sekala.

Menurut tentera, lebih 100 orang yang majoritinya militan terbunuh dan ribuan penduduk bandar itu menjadi pelarian.

Sementara itu, seorang paderi, Teresito Soganub bersama sejumlah orang awam yang ditawan militan merayu Presiden Rodrigo Duterte menghentikan operasi ketenteraan.

“Kami merayu pertolongan dan memberikan apa yang dikehendaki oleh musuh kamu. Kami mahu hidup, tolong timbangkan keadaan kami,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan militan.

Seorang ahli politik, Zia Alonto Adiong yang terbabit dalam usaha memindahkan penduduk memberitahu, pihak berkuasa sudah menguasai 85 peratus bandar itu.

Namun, katanya, tentera kini berdepan cabaran sukar kerana lokasi selebihnya adalah kawasan berpenduduk padat dengan ramai orang awam terperangkap.

“Walaupun ramai sudah melarikan diri tetapi ribuan lagi masih terkandas dan bimbang ditangkap militan sekiranya cuba menyelamatkan diri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here