Maxis, AirAsia sumbang RM30 juta untuk penyiaran Piala Dunia Rusia 2018

0
18
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan telah menerima sumbangan berjumlah RM30 juta yang membolehkannya membayar terus hak penyiaran kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA Rusia 2018.

Syarikat telekomunikasi Maxis dan syarikat penerbangan AirAsia masing-masing menyumbang RM18 juta dan RM12 juta bagi melengkapkan jumlah itu.

Maxis merupakan penaja platinum, manakala AirAsia adalah penaja emas.

RTM bakal menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan menerusi TV1 dan TV2 dan akan bersiaran selama 400 jam sepanjang Piala Dunia di Rusia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang ditemui sewaktu majlis pelancaran Piala Dunia 2018 RTM di lobi pejabat Kementerian di Putrajaya hari ini berkata 28 perlawanan akan disiarkan secara langsung mananakala 13 perlawanan lagi secara siaran tertunda.

Menganggap sumbangan syarikat korporat itu sebagai kejayaan kerajaan dalam mendengar isi hati rakyat, beliau menggalakkan lebih ramai pihak untuk menyumbang.

“Memang ada beberapa pihak yang mendekati saya untuk menyumbang. Saya cadangkan supaya mereka pergi terus kepada RTM.

“Dengan wang sumbangan, kami boleh menggunakannya untuk acara istimewa seperti menonton perlawanan akhir bersama rakyat,” katanya.

Walaupun kutipan sudah mencukupi untuk membayar lesen penyiaran acara bola sepak utama dunia itu, Gobind berkata masih ada kos-kos kecil yang harus dipertimbangkan.

Jelasnya, beliau telah meminta RTM untuk mengira kos sebenar penyiaran ini untuk diteliti.

“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan niat baik mana-mana pihak.Ini kerana tujuan utama kerajaan menyiarkan acara tersebut adalah bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Siaran Piala Dunia 2018 akan bermula pada 14 Jun ini iaitu perlawanan di antara Arab Saudi dan Rusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad, Robert Nason berkata kerjasama melalui siaran acara sukan ini boleh menyatukan rakyat Malaysia dan berharap diberikan peluang lagi untuk menyumbang.

Selain itu, Maxis juga bekerjasama dengan Astro untuk membolehkan pelanggan Maxis dan Hotlink untuk menonton semua 64 perlawanan secara langsung dalam siaran berdefinisi tinggi (HD), selain mengunakan Pas Perlawanan Piala Dunia AstroGO.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

AirAsia turut menyediakan peluang menarik kepada penonton untuk memenangi 54 tiket penerbangan melalui kuiz yang dianjurkan sepanjang musim kejohanan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here