Mayat mangsa terakhir Menara Grenfell ditemui

0
24


LONDON: Polis Britain mengesahkan menemui ‘serpihan mayat terakhir’ mangsa kebakaran pangsapuri Menara Grenfell bulan lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 80 penghuni.

Komander Polis Metropolitan, Stuart Cundy, berkata penemuan itu adalah hasil saringan yang dilakukan secara berhati-hati dan teliti ke atas 15.5 tan serpihan dengan menggunakan tangan.

Terdahulu, polis memberi amaran kemungkinan identiti mangsa tragedi itu gagal dikenal pasti akibat rentung, dalam kejadian pada 14 Jun lalu.

Sementara itu, Menteri Perumahan, Alok Sharma mengisytiharkan bahawa 139 daripada 158 keluarga mangsa tragedi itu yang dikenal pasti tidak mempunyai tempat tinggal, sudah ditawarkan penginapan sementara secara percuma.

Namun, katanya, setakat ini hanya 14 keluarga sudah menerima tawaran itu, dan daripada jumlah itu, tiga keluarga sudah berpindah masuk ke kediaman yang disediakan.

Beliau berkata, ketika ini, semua keluarga terbabit tinggal di pusat penempatan sementara, selain beberapa hotel.

Dalam pada itu, identiti kira-kira 21 mayat mangsa sudah dikenal pasti, termasuk bayi berusia enam bulan, kakaknya yang berusia lapan tahun, selain ibu bapanya yang tinggal di tingkat 20 menara kediaman itu.

Puluhan lagi mangsa dilaporkan hilang dan semua mereka disahkan meninggal dunia. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here