Maybank sasar RM50 bilion bil kad kredit tahun ini

0
392
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) menyasarkan peningkatan 16 hingga 18 peratus peningkatan jumlah perbelanjaan pelanggan menggunakan kad kerdit kepada RM50 bilion tahun ini.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Malaysia Datuk Hamirullah Boorhan berkata bil kad kredit bank itu akan terus meningkat tahun ke tahun, dengan bil yang direkodkan tahun lepas meningkat 12 peratus.

“Tahun ini kami menjangkakan pertumbuhan yang lebih positif dan lebih tinggi daripada tahun lepas, dengan menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan kad berbanding tunai.

“Dengan menggunakan kad pelanggan dapat mengesan perbelanjaan selain mendapat galakkan menerusi ganjaran mata ketika berbelanja yang memberikan nilai yang lebih baik kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Maybank Treat Fair ke-13 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CFS Datuk Lim Hong Tat berkata terdapat kira-kira dua juta pemegang kad kredit Maybank di Malaysia.

“Kami menerajui dalam semua bidang, dengan penguasaan pasaran sebanyak 20 peratus dan 40 peratus pedagang, 28 peratus dari segi bil dan dari segi terimaan, kami menduduki tempat pertama dengan 80 peratus penguasaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata terimaan, yang mengukur jumlah yang belum dijelaskan oleh pelanggan, merupakan ukuran yang lebih penting berbanding bilangan kad yang dikeluarkan, dan menambah Maybank mengambil alih tempat pertama daripada satu penggiat kad antarabangsa pada 2016.

“Kami menganggap diri kami sebagai penggiat kad yang tidak boleh dipertikaikan dari segi pedagang, penerbitan kad, bilangan kad, bil dan terimaan,” katanya.

BagiTreats Fair tahun ini, beliau berkata bank itu menjangkakan lebih 250,000 pelawat, menjana jualan melebihi RM20 juta dan tiga bilion TreatsPoints untuk ditebus.

Mengetengahkan 250 peniaga, acara empat hari itu menawarkan peralatan IT, barangan isi rumah dan pendidikan, peralatan dapur dan pakej pelancongan.

Sempena pameran tersebut, Maybank juga melancarkan Aplikasi Fan Fan Football pertama di dunia usaha sama dengan Manchester United Club, bagi memperkenalkan Maybank Islamic World Mastercard Ikhwan Card-i, kad premium Islam, melengkapkan barisan produk Ikhwan.

“Kami menyasarkan untuk mengeluarkan 10,000 kad dalam tempoh 12 bulan dan antara ciri unik kad itu akan menyaksikan 0.2 peratus perbelanjaan antarabangsa disumbangkan untuk wakaf,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran aplikasi itu ialah legenda Manchester United, Mikael Silvestre.

Hong Tat berkata App Fan Football akan membolehkan kumpulan itu memanfaatkan aplikasi gamifikasi yang memudahkan pemerolehan, ganjaran dan kesetiaan kad, dan cabutan bertuah menerusi aplikasi permainan tunggal.

“Kajian pasaran Forbes menunjukkan gamifikasi mempunyai penglibatan 10 kali lebih tinggi berbanding saluran tradisional lain. Pengguna gamifikasi mudah alih dijangkakan 66 peratus lebih cenderung untuk berkongsi pengalaman baik mereka melalui media sosial berbanding orang lain.

“Oleh itu, penting bagi bank untuk terus berkembang dan melaksanakan cara inovatif untuk melibatkan pelanggan kami,” katanya.

Aplikasi permainan merupakan permainan kompetitif masa nyata yang membawa peminat Manchester United lebih dekat dengan permainan dan kelab mereka.

Satu pertandingan akan diadakan sebagai sebahagian daripada pelancaran aplikasi dan pemenang hadiah utama akan memenangi perjalanan dua orang, termasuk tiket penerbangan dan penginapan, bagi menyaksikan Manchester United beraksi di Old Trafford.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here