'Mayweather… jom lawan lagi'

0
51
Advertisement



KUALA LUMPUR: Manny Pacquiao mencabar Floyd Mayweather untuk keluar daripada persaraan dan bertarung kali kedua dengannya selepas meraih kemenangan ‘technical knock-out’ (TKO) pertamanya dalam tempoh sembilan tahun.

Senator Filipina yang dikenali sebagai “Pac-Man” itu menumbangkan juara Persatuan Tinju Dunia (WBA) dari Argentina, Lucas Matthysse dalam ‘Fight of the Champions’ di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

“Mari kita berlawan sekali lagi,” katanya yang mencipta rekod baharu dalam kariernya selepas 23 tahun apabila menjadi satu-satunya petinju yang berjaya memenangi lapan divisyen dan menang semua gelaran juara dunia yang dipertandingkan.

Meskipun bakal berusia 40 tahun, Pacquiao kelihatan seperti mampu kembali menjadi kuasa besar dengan pukulan yang sangat pantas dan tepat sekali gus mampu mengulangi kejayaan yang pernah dikecapinya sebelum ini ‘petinju terbaik antara yang terbaik’ sekitar tahun 2000 dan 2010.

Pada 2015, Pacquiao yang mempunyai rekod 60-7-2, tewas kepada Mayweather menerusi keputusan sebulat suara dalam satu pertarungan termahal dalam sejarah tinju dunia.

Namun, dia kemudiannya terpaksa menjalani pembedahan kerana kecederaan bahu yang didakwa menjadi punca menghalang pergerakan dan tumbukan padunya dalam pertarungan berkenaan.

Melakar kemenangan mudah dengan hanya tujuh pusingan ke atas Matthysse selepas bertahun-tahun menunggu untuk bertemu, legenda Filipina itu sudahpun mempertimbangkan pertarungan seterusnya yang mungkin akan berlangsung sekitar November atau Disember depan.

“Mayweather? Jika dia memutuskan kembali bertinju ini adalah masa yang tepat untuk bertarung sekali lagi,” kata Pacquiao.

“Saya mempunyai tali pinggang jadi terpulang kepadanya. Jika dia mahu kembali ke dunia tinju mari kita aturkan perlawanan kedua,” katanya.

Pacquiao turut menamakan bekas petinju terkemuka British yang juga bekas juara dunia welterweight, Amir Khan sebagai lawan yang berpotensi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here