Mbappe 'jelmaan' Pele

0
437
Advertisement



MOSCOW: Ketika Kylian Mbappe meledak gol keempatnya di Piala Dunia 2018, timbul pendapat betapa dia mungkin mampu mengemudi Perancis mengikuti kejayaan skuad Brazil yang diketuai penyerang legenda, Pele.  

Di usia 19 tahun, Mbappe menjadi pemain remaja kedua selepas Pele berjaya menjaringkan gol di final Piala Dunia yang menyaksikan Perancis mengatasi Croatia 4-2 untuk menjulang trofi keagungan bola sepak itu buat kali kedua selepas 20 tahun lalu.

Pele melakukannya ketika berusia 17 tahun pada 1958, yang menjadi titik tolak kepada dominasi dan kemenangan Brazil di tiga edisi Piala Dunia dalam tempoh 12 tahun termasuk ketika membenam Itali pada 1970. 

Biarpun jurang antara Mbappe dan Pele semakin rapat, namun perjalanan bintang muda Perancis itu masih terlalu jika dibandingkan dengan kehebatan tonggak Brazil berkenaan.

Bagaimanapun, Mbappe mungkin boleh menjadi salah seorang tonggak pasukan Perancis yang mendominasi bola sepak dunia seperti dilakukan oleh Pele dan rakan sepasukannya yang pada tahun 1950-an hingga 1970-an. 

Bersama Antoine Griezmann, yang dipilih sebagai pemain terbaik di final Piala Dunia di Moscow dan Paul Pogba selaku tonggak utama di bahagian tengah, pertahanan kental Samuel Umtiti dan Raphael Varane, Perancis dilihat sudah mempunyai asas yang kukuh ke arah itu.

Skuad Piala Dunia Perancis rata-ratanya berusia melebihi 26 tahun dan dibarisi ramai bintang bertaraf dunia tetapi cara mereka mengharungi kejohanan dengan kebijaksanaan memberi lebih keyakinan betapa banyak kejayaan mampu dicapai di masa depan.

Peluang mereka untuk meneruskan kejayaan turut ditingkatkan oleh kelibat jurulatihnya, Didier Deschamps yang amat popular di kalangan pemain akan kekal mengetuai pasukan itu untuk sekurang-kurangnya dua tahun.

Kontrak Deschamps dijadual berakhir pada Euro 2020 tetapi dengan begitu banyak potensi di dalam pasukannya, bekas pemenang Piala Dunia pada 1998 itu pasti teruja untuk melanjutkan khidmatnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here