MCA Johor bersedia rampas kembali Gelang Patah

0
43



MCA sudah bersedia dengan pelbagai gerak kerja bagi menawan semula kerusi panas Parlimen Gelang Patah dalam pilihanraya umum (PRU) yang akan datang.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata meskipun begitu, keyakinan sahaja tidak mencukupi untuk memenangi kerusi itu tetapi yakin ia dapat dicapai dengan adanya usaha anggota MCA serta dibantu parti komponen.

“Setakat keyakinan tidak cukup, kita mesti buat kerja bersungguh-sungguh dan usaha gigih itulah yang akan membawa kejayaan.

“Saya juga telah dua tiga kali diberi taklimat oleh MCA bahagian mengenai persediaan ini dan saya lihat semua (persediaan) itu berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan,” katanya.

Wee berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Gemilang Coachwork Sdn Bhd dan Greenpower Motor Inc di Seelong, Kulai hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengumumkan BN Johor bersetuju meletakkan calon MCA di parlimen itu.

“Hubungan rapat antara Umno dan MCA seperti aur dan tebing. Kita dalam satu keluarga BN sentiasa berbincang mengatur strategi untuk menawan semula kerusi yang kita tewas.

“Tidak kira siapa berentap (pembangkang), semangat dan usaha kita kena teruskan dan digabungkan dengan parti yang berada di bawah BN maka saya harap ia menjadi sinergi baharu pasukan BN membentuk “Team Johor” untuk membantu rakyat,” kata Wee.

Beliau berkata kerjasama itu penting apatah lagi setelah melihat kepada kesengsaraan yang dihadapi rakyat di parlimen itu yang sukar untuk bertemu dan mendapat perkhidmatan daripada wakil rakyat mereka.

Tambah beliau, parlimen Gelang Patah antara kawasan yang diberikan penekanan MCA menjelang PRU akan datang.

Dalam PRU lepas, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menewaskan bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Lebih ramai calon muda

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon berkata lebih ramai calon muda akan diketengahkan MCA dalam PRU14, selepas pimpinan tertinggi parti memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan sayap itu setakat ini.

“Kami melahirkan rasa syukur kepada ramai calon muda yang telah diberikan pertimbangan dan lebih banyak muka baharu akan diberikan peluang (untuk bertanding pada PRU14),” katanya di Seremban hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pemberita mengenai calon yang akan diketengahkan parti itu pada PRU akan datang selepas melawat mangsa yang terlibat dalam kebakaran Ahad lepas di Kampung Baru Sikamat.

Chong yang juga timbalan menteri pendidikan berkata sebagai persiapan pilihan raya umum, MCA merangka pelbagai strategi termasuk melakukan kelainan dalam corak berkempennya dengan melibatkan lebih ramai pemimpin daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) di atas satu pentas.

“Generasi muda hari ini lebih suka untuk melihat pemimpin pelbagai kaum duduk sekali atau berkempen bersama-sama dan inilah yang kami lakukan pada hari ini. Bagaimanapun kempen yang menjurus kepada pengundi Cina masih lagi kami teruskan, begitu juga dengan Umno dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata kempen melibatkan parti komponen yang lain adalah selari dengan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, April lepas yang menggabungkan jentera pilihan raya sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri serta turut melibatkan penyertaan parti komponen BN dan sayap masing-masing.

“Setakat ini sudah lima negeri iaitu Pahang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah telah dilaksanakan kempen secara bersama,” katanya.

Turut hadir semasa lawatan itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan Datuk Abu Ubaidah Redza, yang juga Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri.

.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here