MDEC, DBKL, Alibaba bekerjasama lancar Malaysia City Brain

0
54
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alibaba Cloud untuk memacu ekosistem kecerdasan buatan (AI) Malaysia melalui pengenalan inisiatif Malaysia City Brain.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood berkata platform Malaysia City Brain kini melalui fasa perintis, selepas mendapat bukti konsep (PoC) daripada kerajaan pada Ogos tahun lepas.

“Fasa perintis itu, turut dikenali sebagai fasa pertama, yang sedang dilaksanakan di kawasan pusat perniagaan, meliputi 300 lampu isyarat dan 500 CCTV, dijadualkan siap pada Mei tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di sini pada Isnin.

Beliau berkata projek perintis itu hanya dilaksanakan di Kuala Lumpur dan MDEC akan menilai sama ada inisiatif itu dapat diperluaskan ke bandar-bandar utama lain, selain melantik perkongsian awam-swasta untuk menguruskan platform tersebut di peringkat tempatan, jika perlu.

“Kerjasama dengan DBKL dan Alibaba Cloud satu lagi lonjakan ke arah pendigitalan Malaysia, dengan wujud perkongsian pengetahuan dan amalan yang terbaik. Kami gembira dengan prospek kerjasama ini yang akan memberi manfaat kepada¬† rakyat Malaysia.

“Pengenalan Malaysia City Brain hanya permulaan. MDEC akan terus mengusahakan alternatif AI berprofil tinggi yang terpilih dan pada masa sama membangunkan rangka kerja AI Kebangsaan,” kata Yasmin.

Inisiatif Malaysia City Brain menawarkan kepada pihak berkepentingan rangkaian yang komprehensif bagi pengambilalihan, integrasi dan analisis data besar yang dihasilkan daripada pelbagai sumber di kawasan bandar melalui pengenalan video dan imej, perlombongan data dan teknologi pembelajaran mesin.

Presiden Alibaba Cloud Simon Hu berkata inisiatif itu akan memberi majlis bandaraya dan perancang bandar keupayaan untuk membuat keputusan yang lebih baik untuk komuniti mereka.

“Membina kerjasama ini, kami gembira melihat Malaysia sebagai negara pertama di luar China yang melaksanakan City Brain.

“Melalui program ini, kami berhasrat untuk memperkasakan semua pihak berkepentingan di Malaysia, dalam sektor awam dan swasta, dengan kaedah untuk meningkatkan kecekapan, kemajuan dalam inovasi, dan berjaya dalam era digital,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here