MEF, jangan dolak-dalik isu SIP – MTUC

0
128
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak berdolak-dalik dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung cadangan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dijangka dilaksanakan 1 Januari depan.

Presidennya, Abdul Halim Mansor pada masa sama mendakwa MEF mengemukakan cadangan-cadangan yang sebenarnya bertujuan melewat-lewatkan atau menggagalkan hasrat kerajaan itu.

Antara yang tidak dipersetujui MTUC ialah  cadangan MEF agar SIP dilaksanakan secara saving model, mengecilkan skop liputan SIP mempertikaikan data-data yang dikeluarkan pihak berkuasa dan kadar caruman RM1 yang tidak munasabah.

Malah katanya, pengurangan kadar caruman SIP daripada 0.5 peratus kepada 0.2 peratus telah dipersetujui bersama oleh wakil majikan dan pekerja dalam satu mesyuarat pada Ogos lalu.

“Saya menggesa Perdana Menteri yang meletakkan kekuatan, yang serius mahu perlindungan ini kerana beliau telah meletakkan RM135 juta dan beliau sendiri telah menyatakan bahawa skim ini mesti berjalan pada 1 Januari, 2018.

Jadi kalau ini dah sampai di parlimen dan kita mahu tangguh, ia menidakkan perlindungan kepada pekerja yang mana asas yang pertama bukan masalah gaji sahaja tetapi faedah hari pertama, perlindungan pertama awak dapat surat diberhentikan kerana pada saat itu yang kita perlu ada perlindungan,” katanya dalam sidang media di Wisma Perkeso di sini hari ini.

Tambahnya, MTUC tidak pernah bersetuju dengan permintaan MEF agar bayaran SIP hanya terpakai kepada pekerja yang tidak dibayar Faedah Penamatan Kerja (ETLB) atau di bawah Perjanjian Kolektif (CA) kerana ia berada di bawah tanggungjawab majikan melalui undang-undang berkaitan.

Justeru katanya, jika SIP gagal dilaksanakan, MTUC mencadangkan majikan membayar dana keselamatan dengan meletakkan penalti di bank atau pihak keselamatan sosial sebagai caruman untuk pekerja.

Cadangan itu selaras dengan Akta Kerja 1955 yang didakwa tidak diberikan penekanan oleh sesetengah majikan.

“Kalau MEF kata SIP ini agak memberatkan, jadi saya mencadangkan kerajaan mengarahkan semua syarikat menyimpan deposit di keselamatan sosial, jadi kalau syarikat itu tutup operasi, maka pekerja boleh ambil wang dicarum majikan dalam bank atau pihak keselamatan sosial itu,” tambahnya.

MTUC juga bertegas menolak sebarang bentuk dialog dengan MEF selagi SIP tidak dilaksanakan.

Inisiatif SIP diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mei lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here