Melaka mahu penternak babi komited selesai pencemaran

0
27



Kerajaan Negeri Melaka mahu penternak babi di kawasan Paya Mengkuang, Alor Gajah komited dalam mencari penyelesaian masalah pencemaran yang disebabkan oleh aktiviti penternakan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata isu pencemaran terutama di Sungai Tuang akibat penternakan itu telah berlarutan sejak sekian lama, malah sukar memperoleh jalan penyelesaian akibat kurangnya komitmen penternak babi itu dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Justeru beliau berkata kerajaan negeri memberi tempoh selama tiga bulan untuk penternak babi itu menjalankan perbincangan dan rundingan dengan wakil kerajaan negeri bagi mendapatkan satu pelan penyelesaian supaya penternakan babi tidak lagi menjadi penyebab pencemaran di kawasan itu.

“Ini bukan masalah setempat lagi, tetapi masalah serius yang dirasai semua orang sama ada Melayu, Cina atau semua bangsa di sana, malah menjadi perhatian pelancong luar negara. Jadi ia memerlukan suatu pelan tuntas dan tidak bertangguh supaya tiada yang terima bahananya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh semalam.

Bernama pada 12 Mei lepas melaporkan keluhan pengusaha pusat peranginan di Masjid Tanah, Alor Gajah tentang pencemaran pantai serta sungai terutama di Sungai Tuang ekoran penternakan babi di kawasan berkenaan yang memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan di kawasan itu.

Idris berkata kerajaan negeri tidak akan sama sekali berkompromi terhadap mana-mana penternak babi yang berterusan mengakibatkan pencemaran itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penternak tersebut.

“Kami tidak lagi boleh berkompromi dalam isu ini hingga jejaskan kehidupan rakyat setempat dan juga sektor pelancongan di kawasan itu, jadi saya minta penternak berikan komitmen mereka untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Mengulas mengenai pelan penternakan babi yang sesuai di kawasan itu, beliau berkata penternakan babi di Belanda adalah suatu bentuk penternakan yang perlu dicontohi kerana mengamalkan penternakan yang bersih dan tertutup.

“Penternakan di negara itu mementingkan soal kebersihan yang masyarakat setempat tidak pun terkesan akibat penternakan itu, malah jika kita melawat negara itu kita pun tidak perasan Belanda mempunyai antara penternakan babi terbesar di dunia. Ini kerana sistem penternakan dan pemprosesan mereka amat baik dan berkesan,” katanya.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here