Melaka Utd mahu lepas Williams, Spaso

0
26



PASUKAN Melaka United menekan ‘butang panik’ untuk terus kekal di Liga Super pada musim depan apabila membuat rombakan secara besar-besaran.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya sedang membuat penilaian untuk melepaskan jurulatih Eric Williams dan penjaring terbanyak Liga Perdana 2016, Ilija Spasojevic bagi mengelak zon penyingkiran.

Dalam usaha memperbaiki persembahan, Melaka United sebelum ini menukar dua pemain import dengan membawa masuk pemain pertahanan dari Macedonia, Jasmin Mecinovic menggantikan Godwin Antwi dari Ghana.

Pemain tengah dari Brazil, Felipe Almeida De Souza ambil alih di tempat Sergio Aguero yang berasal dari Argentina selepas jendela perpindahan pertengahan musim dibuka.

Skuad Sang Kancil sedang meneliti kedudukan Williams dan Spaso, di mana keputusan dijangka akan dibuat dalam masa terdekat ini sebelum aksi liga bersambung semula pada 1 Julai depan menyaksikan Melaka United dijadual menentang satu lagi pasukan bergelut dengan ancaman penyingkiran, PKNS FC.

“Keputusan akan diambil hujung minggu ini. Kami melihat prestasi Spaso ketika tewas 3-0 kepada Felda United hari itu tidak begitu baik. Beliau gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan di hadapan pintu gol.

“Secara peribadi, saya rasa Williams merupakan seorang jurulatih baik tetapi sukar dapat keserasian dengan pemain. Mungkin pemain sukar menerima corak latihan yang cuba diterapkan beliau kerana terlalu berat bagi mereka.

“Kami ada senaraikan beberapa jurulatih tempatan dan luar negara, tetapi saya kena kenal pasti dahulu apa masalah pasukan dengan Williams dulu sebelum ambil keputusan.

“Saya akan berbincang dengan pemain selepas mereka balik dari cuti nanti,” katanya di Wisma FAM, malam tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here