Menantu Trump fokus utama siasatan babitkan Russia

0
46


MENANTU yang juga pembantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner. – Foto EPA

WASHINGTON: Aktiviti menantu yang juga pembantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner sedang diteliti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sebagai sebahagian daripada siasatan campur tangan Russia dalam pilihan raya presiden tahun lalu.

The Washington Post yang memetik sumber melaporkan, walaupun tidak dapat disahkan sama ada Kushner adalah fokus utama siasatan, siasatan terhadapnya dibuat berikutan ‘tahap dan sifat’ interaksi dengan pegawai Russia.

Sementara itu, NBC News ketika memetik sumber pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali turut melaporkan FBI sedang menjalankan siasatan ke atas Kushner.

Menurut FBI, walaupun pihaknya percaya Kushner mempunyai ‘maklumat penting berkaitan siasatan’ tidak bermakna agensi itu mengesyaki menantu Trump melakukan jenayah.

Dalam pada itu, berita itu sudah pasti mengganggu Trump, yang berada di Itali untuk menghadiri sidang kemuncak kumpulan G7, dengan diiringi pembantu kanannya, termasuk Kushner.

“Kushner mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Russia ke AS dan seorang pegawai bank dari Moscow pada Disember lalu,” kata The Washington Post.

Kushner pada mulanya dilaporkan gagal mengisytiharkan pertemuan itu di dalam borang khas bagi mendapatkan pelepasan keselamatan untuk berkhidmat di Rumah Putih.

Bagaimanapun, peguamnya berkata, ia adalah satu kesilapan dan memberitahu FBI ia akan segera dibetulkan.

AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here