Menantu Trump mahu wujud talian rahsia dengan Moscow

0
51


GAMBAR fail, penasihat kanan White House juga menantu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Jared Kushner sewaktu menyertai Presiden AS dan seluruh delegasi AS untuk bertemu Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud di Riyadh, Arab Saudi pada 20 Mei lalu. – Foto REUTERS

WASHINGTON: Menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner, mengemukakan cadangan kepada Duta Russia untuk mengadakan talian komunikasi rahsia dan bebas intipan dengan Kremlin.

Akhbar Washington Post melaporkan, Kushner membuat cadangan itu sebelum upacara angkat sumpah.

Beliau turut mencadangkan penggunaan kemudahan diplomatik Russia di Amerika Syarikat untuk melindungi saluran itu daripada dipantau,

Akhbar berkenaan memetik taklimat pegawai AS mengenai laporan perisikan yang menyebut, cadangan itu dibuat pada 1 atau 2 Disember di Menara Trump di New York.

Menurut komunikasi Russia yang dipintas dan dinilai pegawai AS, Michael Flynn, yang menjadi penasihat Trump sebelum dipecat 24 hari selepas memegang jawatan itu, turut ada dalam pertemuan berkenaan.

Laporan itu adalah satu lagi maklumat sensasi dalam siri dakwaan yang membangkitkan persoalan mengenai hubungan pasukan Trump dengan Russia dalam pilihan raya November lalu.

Duta Russia ke AS, Sergei Kislyak, terkejut dengan idea Kushner mengenai saluran rahsia itu dan memaklumkan Kremlin mengenainya.

Kushner, yang kini menjadi penasihat bapa mentuanya adalah satu-satunya individu di Rumah Putih yang menjadi subjek siasatan. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here