Mengapa Mahathir 'jilat' semula apa dikata?

0
28



Umno mempertikaikan ketulenan semangat nasionalisme Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran tindak-tanduknya mutakhir ini.

Kata Ketua Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas perdana menteri itu sebenarnya mengorbankan prinsip perjuangan beliau demi kepentingan peribadi.

“Kalau semangat Dr Mahathir ini benar-benar kuat, dia tak akan jilat balik apa yang dia cakap,” katanya.

Menurut Noh, sebelum ini Dr Mahathir sendiri mendakwa DAP sebagai parti cauvinis dan perkauman.

“Jadi, macam mana dia boleh korbankan prinsip perjuangan dia demi kepentingan peribadi?” kata Noh pada sidang media selepas menghadiri majlis agihan bubur lambuk kepada warga kerja Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya hari ini.

Noh adalah menteri bagi kementerian berkenaan.

Dr Mahathir kini menjadi antara pengkritik paling lantang terhadap kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

Pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari Umno dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama beberapa bekas pemimpin kanan Umno.

Dr Mahathir kini menjadi pengerusi BERSATU dan sedang gigih menyusun strategi bersama parti pembangkang lain untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang dipercayai akan diadakan tidak lama lagi.

Pada 29 Mei lalu, Dr Mahathir sekali lagi melahirkan rasa bimbangnya terhadap bangsa Melayu yang kini dilihatnya tidak lagi mempunyai semangat kebangsaan.

Menceritakan bahawa beliau membesar di zaman melawan Malayan Union dan membebaskan negara daripada jajahan British, Dr Mahathir berkata, seperti orang lain, beliau ketika itu bekorban menggunakan wang sendiri untuk berjuang tanpa mengharap apa-apa balasan demi maruah bangsa.

Namun, katanya, apa yang berlaku hari ini, orang Melayu banyak berubah dan ramai di kalangan mereka tidak lagi sayangkan bangsa dan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here