Meniarap sejam elak ditahan [METROTV]

0
77



Nilai: Sanggup meniarap dan bersembunyi di bawah tangki air selama lebih sejam. Itu tindakan seorang lelaki warga Bangladesh dalam usaha meloloskan diri daripada diberkas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah tapak pembinaan di sini.

Lelaki berusia 40-an itu datang ke Malaysia empat tahun lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial sebelum dibantu rakannya mendapatkan kerja di syarikat pembinaan itu tanpa permit sah.

Lelaki itu yang disoal siasat mendakwa beberapa kali terselamat dalam serbuan sebelum ini apabila sembunyi di bawah tangki air.

Selain lelaki itu, wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi bermula jam 5 petang itu melihat pelbagai aksi dan cubaan untuk meloloskan diri dilakukan pendatang haram di situ.

Bagaimanapun usaha 306 pendatang asing tanpa izin (PATI) itu digagalkan 121 pegawai dan anggota JIM Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan selain bantuan 30 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan empat pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ada warga asing yang sanggup menggadai nyawa dengan bersembunyi di sebalik cerucuk besi, lubang di antara cerucuk dan papan lapis selain di dalam longkang.

Mengulas lanjut berhubung operasi itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi mengejut itu dijalankan bagi memastikan semua pekerja asing di tapak pembinaan mempunyai permit kerja yang sah.

Katanya, tindakan awal pasukan risikan menyerbu tapak pembinaan itu membuahkan hasil apabila seramai 306 PATI dicekup selepas pemeriksaan dilakukan ke atas 450 individu.

“Majikan yang degil dan PATI yang bekerja secara haram akan terus diburu. Operasi ini juga satu usaha untuk memastikan setiap pekerja di tapak pembinaan mempunyai pas yang sah selain memastikan majikan menggajikan pekerja asing secara sah mengikut undang- undang,” katanya katanya kepada Harian Metro selepas tamat menyerbu sebuah kawasan pembinaan di sini, kelmarin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here