'Mental kena kuat dik'

0
161
Advertisement



PEMAIN skuad Bawah 16 (B-16) tahun negara berdepan situasi baharu selepas menerima ‘provokasi luar jangkaan’ daripada penyokong Indonesia pada Kejuaraan B-16 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 yang berlangsung di Republik itu.

Justeru, jurulatih skuad B-16, Raja Azlan Shah Raja So’ib meminta anak buahnya supaya dapat menguatkan diri untuk mengharungi suasana ‘menakutkan’ sambil menetapkan fokus pada setiap perlawanan pada pertandingan terbabit.

Malah, Raja Azlan mengakui barisan pemainnya menerima kata kata kesat daripada penyokong Indonesia namun dia mengharapkan isu tidak mematahkan semangat pemainnya untuk melakar kemenangan dalam baki perlawanan yang akan diharungi selepas ini.

“Tidak dinafikan ada gangguan dengan kata kata kesat terhadap negara dan juga pemain terbabit namun saya sudah mengingatkan pemain supaya tidak hilang fokus terhadap misi kami di sini.

“Meskipun gangguan sebegini dijangka berterusan, inilah hakikat yang harus kami lalui namun saya tidak bimbang memandangkan keselamatan kami terjamin dan terkawal.

“Kumpulan penyokong itu sekadar melepaskan perasaan sahaja dan itu adalah hak mereka. Hak kami pula adalah bermain dalam situasi selamat dengan tiada gangguan di luar mahu pun di dalam padang.

“Apapun, pemain harus menempuhi dugaan ini dengan kuat dan tunjukkan semangat juang di atas padang. Kami akan pastikan kemenangan pada aksi berikutnya untik menaikkan moral pasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, belum pun reda dengan insiden serangan balingan botol ke atas skuad Bawah 19 tahun (B-19), penyokong Indonesia seakan tidak serik apabila terus melakukan provokasi melampau kepada skuad bola sepak negara.

Kali ini, giliran skuad B-16 pula menjadi mangsa apabila ‘didendangkan’ dengan sorakan yang menghina dan hamburan kata kesat pada aksi Kejuaraan B-16 AFF 2018 di Stadium Joko Samudro, Surabaya, kelmarin.

Meskipun aksi membabitkan Malaysia bertemu Thailand, namun penyokong Indonesia nyata lebih berkobar kobar untuk memberi ‘sokongan’ apabila melaungkan ‘Malaysia itu anjing’ dan juga ‘Amirul itu anjing’ pada perlawanan terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here