Menyanyi lagu Bahasa Mandarin, Nabila Razali nak kembang bakat di China

0
111
Advertisement

PENYANYI yang sedang popular melalui lagu ‘Pematah Hati’, Nabila Razali, mengakui mempunyai niat untuk mengembangkan bakat nyanyiannya ke China.

Menurut Nabila, 25 tahun, dia masih perlu banyak memperbaiki penggunaan bahasa Mandarin dan belajar mengenai selok-belok industri muzik di sana.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang menyanyikan lagu tema filem biografi Datuk Lee Chong Wei berjudul ‘Cahaya Juara’ dan dalam lagu itu, saya harus belajar menyanyi beberapa baris lirik dalam bahasa Mandarin.

“Saya rasa ini permulaan yang bagus bagi kerjaya seni saya pada tahun ini dan saya harus perbaiki banyak perkara jika mahu serius dalam bidang nyanyian di negara orang.

“Jika dilihat, ramai sahaja rakan artis yang berhijrah ke China untuk kembangkan bakat mereka dan ternyata orang di sana sangat menyukainya, jadi bagi saya tidak salah jika menyimpan niat itu.

“Sebagai penyanyi saya suka mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang baru dan jika saya mahu serius mahu tembus pasaran industri di China, saya harus banyak belajar lagi,” katanya kepada Astro Gempak.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran trailer kedua filem biografi Chong Wei di Quill City Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Nabila, bintang sensasi YouTube kelahiran Sarawak, Priscilla Abby turut diberi penghormatan menyanyikan lagu tema filem biografi jaguh badminton negara itu.

Filem arahan Teng Bee yang berkisar mengenai kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku untuk muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula 15 Mac ini.

Sementara itu, peminat badminton berpeluang menjadi orang pertama menonton versi tambahan filem berdurasi 133 minit itu pada sesi tayangan istimewa di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.

Filem ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend’ membariskan pelakon seperti Tosh Chan, Datuk Rosyam Nor, selain pelakon Singapura Mark Lee, Yeo Yann Yann dan Ashley.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here