Mercedes yakin mampu catatkan rekod tahun terbaharu dalam separuh kedua

0
40

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) menjangkakan separuh kedua tahun 2017 akan kekal positif dan yakin mampu mencatatkan satu lagi rekod untuk tahun tersebut.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Claus Weidner, berkata MBM telah menyimpulkan separuh pertama 2017 dengan prestasi yang kukuh, merekodkan jualan sebanyak 5,913 unit, dipacu oleh permintaan bagi Mercedes-Benz E-Class pemasangan tempatan (CKD).

“Dengan strategi yang berteraskan pelanggan serta produk tempatan yang menarik, MBM sudah pasti berada pada landasan bagi satu lagi rekod untuk tahun 2017,” katanya kepada pemberita semasa taklimat mengenai prestasi separuh pertama syarikat di sini pada Khamis.

Katanya, syarikat yakin jualan 2017 akan mengatasi angka sebanyak 11,779 kereta yang direkodkan paa tahun sebelumnya.

“Kami menutup separuh pertama dengan Jun sebagai bulan paling cemerlang, seterusnya, mengekalkan penguasaan kami dalam segmen premium dengan bahagian pasaran sebanyak 2.3 peratus,” katanya.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine, berkata model Mercedes-Benz C-Class berada pada kedudukan teratas dalam senarai jualan separuh pertama iaitu sebanyak 2,075 unit, diikuti oleh E-Class (1,358 unit), SUV (1,233 unit), kereta kompak (739 unit) dan S-Class (230 unit), manakala sebanyak 268 unit Mercedes-Benz Dream Cars terjual.

Syarikat itu telah melancarkan tiga model pada separuh pertama, E-Class CKD, GLA berwajah baharu dan barisan kereta AMG.

Pelancaran terakhir yang dinanti-nantikan dalam tahun ini merupakan E-Class ‘plug in hybrid’ CKD pada separuh ketiga yang dijangka akan menjadi penyumbang utama untuk MBM dan berkemungkinan bakal mencatatkan satu lagi rekod tahun pada tahun ini.

Sehingga sekarang, MBM mempunyai 31 wakil jualan dan menjadi pembiaya kereta terkemuka dalam negara dengan portfolio perkhidmatan sebanyak RM2 bilion, membiayai empat daripada 10 kenderaan Mercedes-Benz yang dijual.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here