Mereka pukul kami, tak suka kami ke sekolah – Kanak-kanak Rohingya

0
38

THANGKALI: Air mukanya terpancar satu kepuasan yang sebelum ini pernah dialami, namun sudah sekian lama tidak dirasai.

Senyum anak kecil ini sampai ke cuping telinga. Tertera di kertas lukisannya kata-kata “Thank You” (terima kasih) ditulis dengan pen berwarna ungu, diikuti dengan ayat “I am Very Happy” (saya sangat gembira).

Namun agak menghairankan apabila di sebalik kertas kecil itu, tertulis pula satu lagi ayat “Can You Help?” (bolehkah anda bantu?)

Dalam benak fikiran penulis, selalunya apabila kanak-kanak diberi kertas dan pen, mereka akan melukis secara rawak, contohnya lukisan bentuk geometri bulatan, segi tiga dan sebagainya.

Paling tidak, mereka akan menulis nama sendiri untuk menjadikan kertas itu “milik” mereka.

Tetapi situasinya berbeza bagi kanak-kanak Rohingya berusia 12 tahun ini.

Apa yang dimaksudkan di sebalik tulisannya itu? Terutamanya ayat “Bolehkah anda bantu?”

Ini jawapan kanak-kanak itu, yang bernama Ani Sol Hak: ”Mereka (Myanmar) tidak suka kami ke sekolah. Mereka akan pukul kami,” katanya sambil menggengam erat pen ungu di tangannya.
Katanya lagi, dia suka menulis dan belajar di dalam bilik darjah.

“Saya mahu jadi doktor dan bantu orang Rohingya,” kata Ani Sol Hak sambil menceritakan yang dia pernah melihat sendiri rumahnya dibakar dan ahli keluarganya dibunuh ketika di Myanmar.

Namun dia rasa bertuah kerana ibu bapa masih bersamanya selepas melarikan diri dari Myanmar ke Kem Pelarian Sementara Thangkali, di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Perkembangan pelarian Rohingya 

Dia juga cukup teruja apabila mengikuti aktiviti yang dikendali oleh sukarelawan MERCY Malaysia, Jameyah Sheriff semalam bersama kira-kira 50 kanak-kanak Rohingya yang lain.

Menurut Jameyah yang juga merupakan seorang Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, aktiviti bermain ini sangat penting bagi kanak-kanak memandangkan ia merupakan sebahagian daripada hidup mereka.

“Aktiviti bermain ini boleh membantu kanak-kanak menghilangkan ketakutan dan kerisauan memandangkan bukan mudah untuk hidup di kem pelarian.

“Saya boleh lihat ibu bapa kanak-kanak ini pun gembira memandangkan mereka sibuk membina rumah untuk anak-anak mereka,” jelasnya lagi.

Antara aktiviti yang dijalankan kanak-kanak seperti Ani Sol Hak di kem pelarian di sini termasuk melukis, mewarna dan menyanyi.

Ani Sol Hak merupakan sebahagian daripada kira-kira 519,000 pelarian Rohingya di Bangladesh.

Sebanyak 60 peratus daripada jumlah tersebut merupakan kanak-kanak. 

Pada September 2017, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) telah mengenal pasti seramai 512 kanak-kanak Rohingya di Bangladesh tidak diiringi keluarga atau penjaga.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan serangan Myanmar terhadap etnik Rohingya jelas menunjukkan langkah pembersihan etnik.


Wartawan Astro AWANI, Mariah Ahmad kini berada di Cox’s Bazar untuk Misi Kemanusian Mercy Malaysia Bantu Pelarian Rohingya di Bangladesh.

Ikuti akaun media sosial beliau di Twitter (@a_marea) bagi mengikuti perkembangan terkini situasi di kem pelarian di Cox’s Bazar.

Jika anda ingin membantu atau menderma, sila layari laman web MERCY Malaysia di: http://mercy.org.my/how-to-donate/ 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here