'Mereka serah nyawa untuk saya'

0
28



Kemungkinan besar Rick Best, Taliesin Myrddin Namkai Meche dan Micah Fletcher tidak pernah saling mengenali. Atau tidak pernah terserempak pun.

Mereka juga tidak mengenali Destinee Mangum dan seorang rakannya yang beragama Islam.

Namun koc komuter pada 26 Mei lalu menyaksikan mereka dipertemukan oleh perbuatan biadab dan ganas Jeremy Joseph Christian.

“Mereka menyerahkan nyawa untuk saya,” kata Destinee menceritakan detik bagaimana dia dan rakannya diganggu Christian dengan cacian menghina dan diselamatkan oleh tiga lelaki terbabit.

Kata Destinee, 17, dia dan rakan perempuannya – yang berhijab – menjadi sasaran cacian Christian hanya kerana gaya penampilan mereka.

“Dan saya sangat terhutang budi kepada mereka dan keluarga mereka kerana jika tidak, saya mungkin sudah mati sekarang,” katanya menghargai Best, 53; Namkai Meche, 23; dan Fletcher, 21.

Ketiga-tiga lelaki terbabit cuba menenangkan Christian dan melindungi dua remaja perempuan terbabit. Bagaimanapun Christian bertukar menjadi ganas dengan menikam ketiga-tiga lelaki berkenaan.

Best dan Namkai Meche meninggal dunia, manakala Fletcher masih dirawat di hospital akibat kecederaan parah.

Menurut Destinee, dia dan rakannya – yang belum banyak diketahui identitinya – menaiki tren komuter itu pada Jumaat lalu (waktu tempatan) di Portland, Oregon.

Turut berada dalam koc sama ialah Christian yang tiba-tiba menghampiri mereka sebelum mula menghamburkan kejian bersifat perkauman dan kebencian.

“Dia menyuruh kami balik ke Arab Saudi dan mendakwa kami tidak layak untuk berada di Amerika.

“Secara umumnya dia menganggap kami tidak bernilai apa-apa dan kami patut membunuh diri,” katanya.

Darah di mana-mana

Kemudian, seorang lelaki kulit putih di belakang mereka bangun meminta Christian berhenti mengganggu Destinee dan rakannya.

Tindakan itu kemudian menyebabkan kedua-dua lelaki terbabit bertengkar. Bagaimanapun Destinee tidak menyatakan sama ada lelaki yang membela mereka ialah Best, Namkai Meche atau Fletcher.

Cerita Destinee, dia dan rakannya sedang turun dari koc komuter berkenaan apabila mendapati beberapa lelaki bergelut dan Christian mula menikam mangsanya.

“Darah berhamburan di mana-mana dan kami lari lintang-pukang,” katanya.

Sementara itu oregonlive.com melaporkan Christian, 35, kini ditahan tanpa boleh diikat jamin di Penjara Multnomah atas dakwaan membunuh.

Dia dilaporkan memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan merompak, menculik dan memiliki senjata.

Keganasan itu berlaku ketika AS kini diketuai Presiden Donald Trump – tokoh harta tanah yang mengapi-apikan perasaan perkauman dan keangkuhan kulit putih untuk memenangi undi rakyat negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here