Merungkai kekeliruan GST

0
422
Advertisement
ISU ‘Goods and Services Tax‘ atau GST kembali menjadi perbincangan hangat di kalangan pengamal media, pihak kerajaan dan pembangkang.

Wujud beberapa kekeliruan dan salah tafsir mengenai GST yang memerlukan kepada penjelasan. Penjelasan ini penting bagi merungkai kekeliruan yang dihadapi oleh rakyat mengenai GST.

Terdapat tiga persoalan utama yang perlu dijawab.

Pertama, benarkah cukai GST lebih mahal dan menekan kos pengeluar berbanding SST?

Secara teknikalnya, cukai GST lebih murah berbanding SST. GST adalah cukai yang dikenakan ke atas nilai ditambah ataupun bahasa mudahnya margin keuntungan di setiap rantaian bekalan. ‘Sales and services tax‘ atau SST pula cukai yang dikenakan ke atas harga jualan akhir barangan. Walaupun GST dikenakan pada setiap rantaian bekalan, ianya lebih kecil kerana dikenakan ke atas penjanaan nilai ditambah.

Ramai keliru di dalam membuat perbandingan kaedah pengiraan GST dan SST. Kekeliruan wujud juga disebabkan oleh penggunaan perkataan “GST”. Di kebanyakkan negara, cukai ini dipanggil “value added tax” atau VAT. Penggunaan VAT lebih tepat kerana maksudnya lebih jelas.

Berikut diberikan contoh mudah pengiraan GST dan SST.

.
• Untuk hasilkan produk, pengeluar membelanja RM1 untuk bahan mentah.

• Pengeluar mengenakan peruncit RM1.20, dengan mengambil untung RM0.20. Untung RM0.20 adalah bersamaan dengan nilai ditambah di dalam sistem GST.

• Peruncit mengenakan harga akhir kepada pelanggan sebanyak (RM1.50 + 10% SST) = RM1.65. Margin keuntungan peruncit adalah RM0.30 dan cukai SST dibayar sebanyak RM0.15.

.
• Pengeluar mengenakan peruncit RM1.20, dengan mengambil untung RM0.20. Untung RM0.20 adalah bersamaan dengan nilai ditambah di dalam sistem GST. Jadi cukai GST yang dikutip (RM0.20 x 6%) adalah RM0.012.

• Peruncit mengenakan harga akhir kepada pelanggan sebanyak $1.50 dengan margin keuntungan RM0.30. Cukai GST yang dikutip adalah RM0.018 (RM0.30 x 6%).

• Jumlah cukai GST yang dikutip adalah RM0.03 (RM0.012 + RM0.018).

• Peruncit sepatutnya mengenakan harga lebih murah kerana mereka membayar cukai yang lebih rendah.

Kedua, jika GST lebih murah, kenapa harga barangan meningkat di pasaran?

Secara teknikalnya, kos cukai GST yang dibayar oleh pengeluar lebih rendah kerana ianya adalah cukai yang dikenakan ke atas nilai ditambah yang dijana pada setiap rantaian bekalan. Apabila kos pengeluaran lebih rendah, harga barangan cenderung untuk turun.

Secara praktikalnya, penurunan harga tidak berlaku selepas tiga tahun selepas perlaksanaan GST.

Kajian menunjukkan terdapat empat faktor mengapa harga terus meningkat selepas perlaksanaan GST. Pertama, kadar kepatuhan firma kepada sistem GST masih rendah. Tidak sampai 50% daripada firma mendaftar di bawah sistem GST sedangkan andaian yang digunakan bila GST dilaksanakan ialah kepatuhan 100%.

Kedua, penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berwajib menyebabkan berlakunya manipulasi harga di pasaran.

Ketiga, kadar pemahaman kepada sistem GST oleh firma, pengguna dan pihak berwajib masih rendah.

Keempat, faktor tekanan harga bukan GST seperti nilai Ringgit yang lemah menyebabkan import menjadi mahal, upah minimum yang meningkatkan kos buruh dan struktur pasaran yang bersifat monopoli.

Faktor pertama sehingga ketiga tidak lagi relevan apabila GST dihapuskan. Faktor keempat masih relevan walaupun GST dihapuskan. Impak ke atas harga akibat penghapusan GST mungkin tidak terkesan ataupun hanya minimal kerana pengeluar masih terbeban oleh peningkatan kos pengeluaran akibat daripada kos import bahan mentah dan kos buruh. Selain itu, sifat pasaran yang bersifat monopoli juga menekan sebahagian pengeluar untuk bersaing dengan lebih kompetitif.

Rakyat dapat melihat walaupun pada masa kini walaupun tiada sebarang cukai dikenakan sama ada GST atau SST, harga barang di pasaran tidak menunjukkan tren yang menurun. Jadi, menganggap GST sebagai punca kenaikkan harga adalah tidak tepat.

Ketiga, adakah pengenalan semula SST akan menyebabkan harga meningkat?

Wujud kecenderungan harga akan meningkat selepas pengenalan semula SST. Hal ini kerana kadar SST lebih tinggi berbanding GST dan ditambah dengan pengaruh faktor-faktor bukan cukai seperti yang diterangkan di atas.


Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

Mohd Yusof akan muncul di 100 Hari Malaysia Baharu pada jam 9.30 malam ini di Saluran 501 Astro AWANI.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here