Mesiniaga sedia khidmat pemantauan untuk atasi serangan siber

0
111
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian ICT utama Malaysia, Mesiniaga Bhd, menubuhkan perkhidmatan pemantauan Pusat Operasi Keselamatan (SOC), dalam usaha memerangi serangan siber.

Menurut syarikat itu, melalui perkhidmatan pemantauan yang dijalankan sepanjang masa, SOC merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk menjadi pembekal perkhidmatan keselamatan terurus (MSSP) yang boleh dipercayai dengan keupayaan SOC yang maju dalam memberikan perlindungan tertinggi terhadap ancaman keselamatan siber bagi pelanggannya.

Ia berkata pendekatan holistik SOC dalam menangani serangan siber merangkumi sebelum-semasa-selepas atau peringkat pencegahan, pengesanan, reaksi dan pemulihan dalam serangan berterusan.

“SOC Mesiniaga adalah pusat operasi keselamatan yang diuruskan di dalam negara yang membolehkan pelanggan tidak perlu risau memandangkan pasukan SOC akan mengesan, menganalisis dan bertindak balas terhadap insiden keselamatan siber menggunakan gabungan penyelesaian teknologi, algoritma automatik, perisikan ancaman dan proses operasi yang kukuh.

“SOC mempunyai jurutera, perunding dan penganalisis keselamatan, serta pengurus yang menyelia operasi keselamatan untuk memastikan isu-isu keselamatan ditangani dengan cepat selepas penemuan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan memantau dan menganalisis aktiviti pada rangkaian, pelayan, pangkalan data, aplikasi, laman web dan sistem lain, mencari aktiviti luar biasa yang boleh menunjukkan kejadian keselamatan.

Menurut Mesiniaga, kemunculan, pengesanan dan tindak balas ancaman siber menjadi komponen penting dalam memastikan perlindungan tertinggi terhadap sebarang persekitaran perniagaan dalam kelemahan keselamatan.

“Jutaan ringgit telah dilaburkan oleh kebanyakan syarikat sejak bertahun-tahun untuk meningkatkan keupayaan perlindungan rangkaian, sistem, e-mel, dan web platform mereka tetapi telah terbukti bahawa lapisan perlindungan masih dapat dikompromi.

“Oleh itu, keupayaan untuk dapat dilihat, pengesanan dan tindak balas selain mempunyai perlindungan lapisan sistem telah menjadi faktor kejayaan kritikal dalam memerangi serangan siber,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here