Mesir tak kisah dua pulaunya dimiliki Arab Saudi

0
53


KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, semalam menegaskan tidak akan masuk campur dalam sebarang keputusan mahkamah atau Parlimen mengenai langkah kontroversi memindahkan dua pulau di Laut Merah kepada Arab Saudi.

“Saya sudah memenuhi tanggungjawab saya, ia kini dalam bidang kuasa Parlimen. Kami tidak akan campur tangan,” kata Sisi dalam siaran langsung menerusi televisyen ketika persidangan di bandar raya Ismailiya.

Perjanjian menyerahkan pulau berkenaan, yang ditandatangani pada April 2016 ketika lawatan Raja Salman dari Arab Saudi, disusuli curahan bantuan kepada Mesir, mencetuskan tuduhan bahawa Kaherah ‘menjual’ pulau strategik itu.

Perjanjian mencetuskan bantahan jalanan dan kes perundangan antara kerajaan, yang menyebelahi Sisi bahawa pulau itu adalah milik Arab Saudi, dan peguam yang menentang langkah berkenaan.

“Sejak awal, kami memberitahu Arab Saudi kami akan melaksanakan prosedur, tetapi tidak akan campur tangan dari segi teknikal, dan pengesahan akan dilakukan mengikut undang-undang dan Perlembagaan,” katanya semalam.

Kaherah berkata, dua pulau itu iaitu Tiran dan Sanafir, adalah wilayah Arab Saudi tetapi dipajak kepada Mesir pada 1950-an, dan Sisi sendiri secara peribadi mengaku ia milik Riyadh.

Wakil perundangan kerajaan, Pihak Berkuasa Saman Negara, berhadapan dengan peguam yang menentang langkah itu di mahkamah. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here