Mike memang hebat!

0
36



Melaka: Walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan hafazan peringkat kebangsaan untuk saudara kita yang diadakan di Kuching, Sarawak awal bulan ini, semangat tidak mudah mengalah mendorong orang kurang upaya (OKU) buta Tan Mike Foong, 21, melakukan yang terbaik hingga muncul juara.

Tan, yang mesra dengan panggilan Mike berkata, dia dilahirkan buta akibat masalah saraf namun kekurangan itu langsung tidak menghalangnya untuk terus mendalami ilmu al-Quran.

Menceritakan pengalamannya Mike berkata, dia amat meminati bacaan Surah Lazim dialunkan Qari terkenal Kuwait, Mishary Rashid.

Malah, dia turut menjadikan gaya alunan ayat suci al-Quran oleh Mishary sebagai panduan ketika memperdengarkan bacaan pada pertandingan berkenaan, hingga menewaskan 22 peserta lain.

Mike yang kini menetap di Interactive Dakhwah Training (IDT), Wangsa Maju, Kuala Lumpur, berkata, walaupun buta, dia masih mempunyai deria pendengaran yang amat membantunya dalam usaha mendalami al-Quran.

Pemuda itu berkata, dia lebih gemar menghafal sendirian dan akan memastikan amalan itu dilakukan sebanyak lima kali sehari, termasuk dibaca ketika menunaikan solat.

“Saya akan pastikan setiap ayat dihafaz terlebih dulu sebelum beralih kepada yang lain, Alhamdullillah kerana Allah kurniakan saya daya ingatan yang kuat walaupun tidak dapat melihat.

“Sekarang ini saya sedang belajar cara untuk melagukan bacaan supaya apa diperdengarkan lebih memberi kesan dan keinsafan kepada mereka yang mendengarnya,” katanya yang ditemui pada Majlis Sembang Santai Ambang Ramadan di Masjid Selat, di sini.

Beliau yang juga aktif dengan Persatuan Orang Buta Malaysia di Brickfeilds Kuala Lumpur, bersyukur dengan penerimaan keluarga selepas membuat keputusan memeluk Islam.

Kunjungan ibu dan adik-beradik lain, sebanyak dua kali sebulan sudah cukup untuk melepaskan rindu selain menaikkan semangat Mike untuk terus menyebarkan agama Allah dengan caranya tersendiri.

“Bagi menyejukkan hati ahli keluarga yang mungkin marah dengan keputusan dilakukan sebelum ini, saya menunjukkan akhlak baik yang dipelajari sepanjang mengenal Islam berbanding berhujah dengan mereka.

“InsyaAllah, saya berhajat untuk tinggal dengan mereka bagi menyampaikan dakwah saya sebaik sahaja berpindah ke Darul Quran yang bakal dibina di Kuala Sungai Baru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here