Militan Boko Haram menyamar sebagai pelarian

0
43


KANO: Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Borno (SEMA) mendedahkan militan Boko Haram dikesan antara pelarian yang kembali ke timur laut Nigeria dari Cameroon.

“Sekurang-kurangnya sembilan militan Boko Haram dan 100 sekutu mereka dikenal pasti antara 920 pelarian Nigeria yang kembali dari Marwa di Cameroon pada Rabu lalu.

“Mereka ditahan ketika proses saringan kumpulan pelarian di bandar Banki yang terletak di kawasan sempadan oleh kakitangan keselamatan,” kata Ketua SEMA, Ahmed Satomi kepada AFP.

Satomi berkata, setakat ini, kira-kira 800 pelarian sudah melalui proses saringan dan jumlahnya dijangka meningkat.

Konflik selama lapan tahun yang melanda timur laut Nigeria menyebabkan sekurang-kurangnya 20,000 maut, selain memaksa lebih 2.6 juta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Penduduk yang memilih untuk kekal di Nigeria, tinggal menumpang bersama saudara mara, rakan atau di khemah pelarian.

Bagi yang meninggal Nigeria menuju ke Niger, Chad dan Cameroon atau kawasan sekitar Tasik Chad, turut berdepan ancaman pengebom nekad dan serangan bom.

Baru-baru ini, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mereka mengenai tindakan Cameroon yang memaksa warga Nigeria kembali ke negara asal mereka akibat tekanan dengan keadaan di kem pelarian.

Wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ke Nigeria dan Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS), Jose Antonio Canhandula, berkata serangan terbaharu di utara Cameroon menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa.

Namun, ketika bercakap kepada AFP, Canhandula berkata, ini bukan masa yang tepat untuk menghantar pulang pelarian dan Cameroon bertanggungjawab untuk memberi mereka perlindungan.

“Ketika menguruskan hal keselamatan, mereka (Cameroon) terlupa bahawa mereka juga perlu menguruskan isu perlindungan.

“Tindakan memaksa rakyat Nigeria balik ke negara mereka, seolah-olah kita menghantar mereka ‘masuk ke dalam api’,” katanya.

AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here