Mimie Haris hilang kekuatan selepas cerai

0
67


Penyanyi, Mimie Haris. – Foto intagram Mimie Haris

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mimie Haris, mengaku beliau bagai hilang semangat untuk meneruskan kehidupan selepas melalui episod perceraian dengan bekas suami, penghujung tahun lalu.

Mimie atau Norshamini Ahmad Haris yang juga bekas peserta program MyStarz LG berkata, perpisahan dengan ahli perniagaan terbabit menjadi dugaan cukup besar buat dirinya.

“Saya memang lemah semangat ketika itu. Kekuatan diri bagaikan hilang, malah ada masanya saya juga seperti meroyan. Ada bisikan negatif yang selalu bermain dalam diri.

“Bagaimanapun saya beruntung kerana mempunyai keluarga dan teman yang banyak membantu. Merekalah yang memberikan dorongan dan semangat untuk saya kembali bangkit,” katanya kepada BH Online.

Perkahwinan beliau bersama lelaki berkenaan bertahan tidak sampai setahun sebelum masing-masing bersetuju untuk memutuskan ikatan itu pada November 2016.

“Saya dan bekas suami sempat menikmati saat bahagia seketika sewaktu berhijrah ke Dubai. Namun, jodoh tidak panjang dan kami berpisah pada November lalu.

“Kami bercinta selepas berkahwin kerana waktu berkenalan pun agak singkat, sebelum membuat keputusan hidup bersama. Jadi, tidak semua episod percintaan selepas kahwin itu indah. Saya bagaimanapun akur dengan ketentuan hidup ini.

“Tiada persefahaman dalam hidup kami selepas masing-masing tinggal sebumbung. Bekas suami saya pun kini sudah hendak berkahwin lain,” katanya.

Kata Mimie lagi, walaupun beliau dan bekas suami berpisah atas persetujuan bersama, kedua-duanya sudah tidak lagi berhubung.

Sejak Oktober tahun lalu, Mimie kembali bekerja sepenuh masa dengan Media Prima Berhad.

“Saya menjadi hos untuk program CJ Wow Shop. Dunia nyanyian juga masih saya teruskan. Baru-baru ini, saya ada menyanyikan lagu tema sebuah drama berjudul Kenyalang I’m In Love, bersama Aepul Drama Band.

“Saya turut berhasrat kembali ke dunia lakonan tahun depan,” kata penyanyi Jatuh Cinta Lagi ini yang pernah muncul dalam drama siri Kau & Aku, sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here