Mobile e-info dilancarkan di Sabah

0
148
Advertisement

KOTA KINABALU: Rakyat di negara ini khususnya di Sabah yang menceburi bidang perniagaan, akan menerima manfaat besar dalam bidang teknologi maklumat, susulan langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan Mobile e-Info yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Rabu.

Pengasas Raffcom Technologies Sdn Bhd, Datuk Md Afendi Hamdan berkata, inisiatif khidmat Mobil e-Info secara bergerak menggunakan trak itu, dilihamkan bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan pihaknya untuk membantu penjualan maklumat perniagaan secara atas talian.

Beliau berkata, untuk ‘sesi pengenalan’, trak berkenaan akan memulakan siri jelajahnya ke seluruh negeri ini dalam tempoh terdekat dan ianya bergantung kepada kelajuan akses talian 4G.

Jelasnya, antara manfaat Mobile e-Info, pengguna boleh terus mendapat maklumat perniagaan lebih mudah dan mendaftarkan syarikat mereka di atas talian tanpa perlu berurusan di pejabat lagi.

“Orang masih biasa pergi ke kaunter. Dengan adanya penjualan secara online ini, ia memudahkan lagi orang ramai terutama peniaga-peniaga, peguam, akauntan, setiausaha syarikat ataupun ahli peniagaan dari luar negara di seluruh dunia, boleh membeli maklumat mengenai sesuatu perniagaan.

“Ketika kita mula dulu, data terhad, saya rasa baru tiga juta… ketika itu kuota baru 800,000 namun sekarang sudah mencecah empat juta, dan untuk Sendirian Berhad dengan Enterprise pun sudah melebihi satu juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Pelancaran Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) dan Biz ​​​​Fair Peringkat Negeri Sabah di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu, di sini pada Rabu.

Program tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman serta menteri-menteri Kabinet Sabah.

Md Afendi dalam pada itu berkata, penjualan data secara atas talian memudahkan orang ramai khususnya golongan peniaga dalam dan luar negara mendapatkan maklumat berkaitan senario perniagaan di Malaysia.

Beliau turut berpendapat, soal penerimaan orang ramai khususnya di kalangan orang muda terhadap Mobil e-Info itu nanti tidak akan menjadi isu utama memandangkan pendedahan teknologi maklumat yang amat meluas pada masa kini.

“Sekarang sudah orang sudah buka mata, orang sudah tahu kemudahannya menggunakan online information amat mudah, dia tidak payah lagi naik teksi ke SSM ,dia tidak payah lagi daripada Kudat dia mahu turun SSM di Kota Kinabalu.

“Kini pakai handphone (telefon bimbit) pun sudah boleh dapat dengan adanya info apps (aplikasi) pun ada sekarang , download (muat turun) di info apps boleh dapat masuk akaun, buka akaun terus masuk saja di hujung jari,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here