MOM tak silap

0
186
Advertisement



Oleh Helmi Talkah

helmi.talkah@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetap menegaskan badan induk itu tidak melakukan sebarang kesilapan berhubung borang penyertaan skuad sepak takraw negara yang dihantar kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia 2018 (INASGOC).

Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, masalah timbul ketika ini yang menyaksikan Malaysia tidak disenaraikan menyertai acara regu lelaki – prospek utama pingat emas sepak takraw, kemungkinan besar adalah disebabkan INASGOC terlepas pandang.

Azim yang juga ketua kontinjen Malaysia ke SUkan Asia turut menegaskan, peluang untuk skuad sepak takraw negara menyertai acara regu lelaki belum tertutup dengan MOM ketika ini sedang berusaha menggunakan semua saluran yang ada bagi membolehkan pemain negara beraksi dalam acara berkenaan.

“Kami tidak membuat sebarang kesilapan dan pihak mereka (INASGOC) yang silap. Namun, dalam tempoh yang singkat ini adakah kita masih mahu mencari kesilapan atau mahu memastikan pasukan sepak takraw dapat menyertai acara yang dimahukan mereka?

“Kalau mahu cari silap, sampai kiamat pun tidak habis kerana pihak mereka pun akan kata yang mereka tidak silap. Adakah itu objektifnya? Tidak…objektifnya adalah untuk memastikan skuad sepak takraw negara menyertai acara yang mereka mahukan,” kata Azim ketika sidang media selepas melakukan lawatan persiapan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Ditanya mengenai jadual perlawanan yang sudah diedarkan oleh INASGOC, semalam yang masih menyaksikan Malaysia tidak akan menyertai acara regu lelaki, Azim berkata, MOM masih belum menerima jadual berkenaan.

“Saya tidak boleh komen panjang kerana MOM pun belum dapat jadual itu lagi, saya tidak tahu bagaimana pihak media boleh mendapatnya,” kata Azim.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Sepak Takraw Indonesia yang akan tiba di Kuala Lumpur, esok bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut yang melanda itu.

“Saya difahamkan presiden sepak takraw Indonesia akan datang ke Kuala Lumpur pada Selasa (esok), jadi saya bersama Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan bertemu dengan beliau bagi menyelesaikan masalah ini.

“Jika tidak boleh juga, kita masih ada saluran lain yang mana kebiasaannya sebelum temasya bermula akan ada panel rayuan boleh membuat keputusan mengenai rayuan-rayuan seperti ini pada saat akhir,” kata Azim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here