Moody's ubah unjuran MAHB kepada 'stabil'

0
58
Advertisement

KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service mengubah unjuran Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada “stabil” daripada “negatif” dan mengesahkan penarafan penerbit A3.

Dalam kenyataan, Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan Moody’s, Ray Tay berkata perubahan unjuran kepada stabil mencerminkan pengukuhan profail kredit MAHB susulan kestabilan operasinya di luar negara dan daya tahan yang berterusan dalam pasaran domestik.

“Pertumbuhan trafik penumpang pada 2018 akan terus meraih manfaat daripada kestabilan persekitaran operasi anak syarikat milik penuh MAHB, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA, tidak diberi penarafan), yang memiliki dan mengendalikan lapangan terbang kedua terbesar di Istanbul, Turki (Ba1 negatif).

“Unjuran stabil itu turut disokong oleh jangkaan kami mengenai pertumbuhan trafik yang kukuh secara berterusan di Malaysia, terutamanya bagi segmen penumpang antarabangsa yang memberi hasil lebih tinggi, meningkat 14.1 peratus pada 2017,” kata Tay.

Beliau berkata agensi penarafan itu menjangka pertumbuhan satu angka bagi jumlah penumpang pada 2018 dan 2019 bagi operasi di Malaysia, penyumbang utama pendapatan bagi MAHB.

Bagi SGIA, walaupun pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus yang dicatatkan pada 2017 lebih rendah berbanding sebelum percubaan rampasan kuasa pada 2016 di Turki, Moody’s menjangka pertumbuhan satu angka akan berterusan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“Kami menjangka pertumbuhan pada 2018 akan terus diterajui oleh penumpang antarabangsa, yang membayar caj perkhidmatan penumpang lebih tinggi daripada penumpang domestik,” katanya.

Moody’s berkata rangka kerja pengawalseliaan MAHB berkembang, berdasarkan rundingan berterusan mengenai lanjutan Perjanjian Operasi dengan kerajaan Malaysia dan ketidakpastian mengenai penentuan tarif.

Ia menjangka proses tersebut akan berpanjangan, susulan isu-isu yang terlibat adalah kompleks, dan akan menilai dari segi impak kredit.

“Bagaimanapun, ketidakpastian berhubung proses tersebut merupakan satu cabaran kredit,” katanya.

Penyumbang utama kepada keuntungan dan aliran tunai MAHB ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang dibuka pada 1999 dan mengendalikan kira-kira 58.5 juta penumpang pada 2017. SGIA mengendalikan sebanyak 31.3 juta penumpang pada tahun lepas.

Sehingga pada 31 Dis, 2017, katanya MAHB dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd sebanyak 33.2 peratus, 12.8 peratus oleh entiti berkaitan kerajaan Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memiliki 11.5 peratus pegangan dan Permodalan Nasional Bhd (1.3 peratus).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here