Mora puas hati

0
301
Advertisement



JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Benjamin Mora gembira dengan pencapaian pasukan kendaliannya yang menamatkan saingan Liga Perdana di tangga keempat sekali gus menyamai kedudukan musim lalu.

Mora berkata, kejayaan itu hasil kesungguhan setiap pemain yang mengharungi kempen liga dan beraksi cemerlang walaupun pada awal musim JDT II bergelut di kelompok bawahan liga.

Katanya, musim ini lebih menarik dengan semua pasukan memberi tentangan hebat untuk membuktikan mutu bola sepak yang semakin meningkat.

“Musim lalu kami menamatkan saingan dengan 41 mata namun musim ini agak merosot apabila hanya mengumpul 30 mata. Bagaimanapun, ia tidak membimbangkan kerana saingan kali ini begitu kompetitif.

“Kita dapat lihat sendiri tiada pasukan pilihan dan semua pasukan mampu menewaskan antara satu sama lain, ia bukti jelas mereka cukup bersedia mengharungi kempen liga,” katanya.

Menurutnya, JDT II tidak bermula dengan baik pada awal saingan dan kerap menukar pemain dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) menyebabkan mereka mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru.

Mora berkata, keadaan itu menyebabkan JDT II berada di bawah liga pada awal musim, namun barisan pemain masih boleh berbangga kerana mampu bangkit untuk menamatkan saingan di tangga keempat.

Walaupun tidak layak beraksi pada saingan Piala Malaysia mengikut syarat yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), JDT II adalah pasukan simpanan JDT dan persiapan seterusnya adalah untuk mengharungi Piala Cabaran yang diperkenalkan musim ini.

Menurutnya, saingan Piala Cabaran yang bermula awal bulan depan akan diharungi tanpa kelibat empat pemain yang bakal menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi persiapan Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan.

“Kami akan mengharungi saingan Piala Cabaran yang baru diperkenalkan tanpa penjaga gol, Haziq Nadzli, Dominic Tan, Hadi Fayyadh (Abdul Razak) dan Adib (Zainuddin) tetapi ia bukan masalah besar.

“Kemungkinan saya akan membawa masuk beberapa pemain skuad belia untuk beri pendedahan kepada mereka beraksi pada saingan lebih tinggi dan ia pasti pengalaman baru buat mereka,” kata Mora.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here