Motivasi Ramadan

0
48



Kuantan: Selepas seminggu berehat, Pahang akan kembali menjalani latihan esok dalam usaha memperkasakan skuad itu apabila saingan Liga Super bersambung 1 Julai ini.

Namun, sesi latihan skuad bimbingan Dollah Salleh itu akan bermula jam 10 malam bagi menghormati Ramadan yang diharap memberi motivasi terbaik dalam memantapkan pasukan.

Bagi pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli, dia percaya skuad Tok Gajah akan bertenaga untuk mengejar pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila saingan liga kembali bersambung nanti.

Katanya, ketinggalan enam mata tidak melunturkan semangat Pahang untuk memastikan baki saingan liga dimanfaatkan sebaik mungkin untuk bergelar juara musim ini.

“Kami masih mempunyai peluang untuk mengejar Johor DT dan sudah pasti sepanjang Ramadan ini latihan lebih keras dan mantap mampu untuk mencapai misi berkenaan.

“Biarpun tanpa empat pemain utama yang tidak turut serta kerana bersama skuad kebangsaan, ia tidak akan menjejaskan persediaan Pahang untuk tampil dengan prestasi lebih baik,” katanya semalam.

Empat pemain yang tidak turut serta menjalani latihan pertama Pahang pada Ramadan adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Wan Zaharulnizam Zakaria, Ahmad Syamim Yahya dan Nor Azam Azih.

Sepanjang Ramadan ini, Faisal yang belum terlepas beraksi dalam saingan Liga Super dan Piala FA akan memastikan prestasinya dapat dikekalkan untuk memperkuatkan lagi jentera pertahanan.

Katanya, kepercayaan yang diberikan jurulatih banyak membantu meningkatkan lagi keyakinan sekali gus memastikan posisi itu diharap terus kekal menjadi miliknya.

“Saya berterima kasih di atas kepercayaan ini dan akan berusaha untuk mempamerkan prestasi lebih baik sebaik saingan liga kembali bersambung pada 1 Julai ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here